liza07/01/2026 - 18:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Jan – LGMS Berhad mendapat kelulusan rasmi Suruhanjaya Sekuriti untuk memindahkan senarai sahamnya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama sebagai langkah penting dalam usaha syarikat memperkukuh kedudukan dalam sektor keselamatan siber.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LGMS berkata kelulusan itu dikeluarkan melalui surat SC bertarikh 6 Januari 2026, mengesahkan bahawa LGMS telah memenuhi semua syarat, termasuk pemilikan ekuiti Bumiputera, sebelum melaksanakan pemindahan tersebut.
LGMS menyediakan perkhidmatan keselamatan siber profesional melalui anak syarikat dan sekutunya merangkumi penilaian risiko, ujian penembusan, pengurusan risiko dan pematuhan, serta forensik digital dan tindak balas insiden.
Bagi tempoh kewangan terkini hingga September 2025, LGMS mencatat hasil sebanyak RM30.27 juta, dengan keuntungan bersih RM6.35 juta, sedikit menurun berbanding tempoh sebelumnya kerana sebahagian kontrak tamat dan perubahan pengedaran produk StarSentry.
Segmen latihan dan perkhidmatan pematuhan mencatat pertumbuhan signifikan.
Syarikat memiliki 456 juta saham, dengan modal pasaran kira-kira RM229.6 juta dan pegangan awam sebanyak 27.57 peratus, memenuhi syarat penyebaran pegangan awam Bursa Malaysia.
Pemindahan ke Pasaran Utama dijangka meningkatkan keterlihatan syarikat, akses kepada pelabur, dan kedudukan kewangan yang membolehkan LGMS terus berkembang secara agresif dalam pasaran siber sekuriti yang semakin kritikal.
LGMS menekankan bahawa strategi ini bukan sekadar untuk naik taraf pasaran, tetapi juga bagi memperluas capaian perkhidmatan kepada lebih banyak industri, termasuk teknologi, kewangan, pembuatan dan automotif.
Dengan langkah rasmi ini, LGMS kini bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan keselamatan siber profesional di Malaysia, selari dengan keperluan sektor swasta dan kerajaan yang semakin meningkat. - DagangNews.com

