LHDN kenakan cukai tambahan RM101.36 juta terhadap Hartalega

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2025 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LHDN kenakan cukai tambahan RM101.36 juta terhadap Hartalega

image is not available

06/08/2025 - 09:00

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Hartalega Holdings Bhd telah dikenakan cukai tambahan sebanyak RM101.36 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun taksiran 2017 hingga 2022.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat pengeluar sarung tangan nitril itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Hartalega NGC Sdn Bhd, telah menerima notis taksiran tambahan daripada LHDN.

Jumlah taksiran tambahan tersebut merangkumi RM13.92 juta bagi tahun 2017, RM36.35 juta bagi 2018, RM10,695 bagi 2019, RM32.89 juta bagi 2020, RM18.10 juta bagi 2021 dan RM90,624 bagi 2022.

Secara keseluruhan, jumlah taksiran tambahan itu berjumlah RM101.36 juta.

“Hartalega kini sedang mendapatkan nasihat guaman dan menilai pilihan undang-undang yang ada, termasuk kemungkinan memfailkan rayuan rasmi kepada LHDN,” menurut syarikat itu.

image is not available

Hartalega NGC merupakan lokasi Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Generasi Baharu (NGC) milik syarikat di Sepang.

Berdasarkan laporan tahunan terkini Hartalega, pembinaan NGC bermula sejak 2013 dengan beberapa kilang telah siap dibina secara berperingkat — yang terkini iaitu kilang keenam disiapkan pada tahun 2020.

Saham Hartalega ditutup lima sen atau 3.65% lebih rendah kepada RM1.32 pada Selasa, dengan permodalan pasaran bernilai RM4.52 bilion. - DagangNews.com

featured standard