LHDN lulus lebih 72,000 pengakuan sukarela libatkan RM652.5 juta taksiran cukai setakat 29 Feb

20 Mar 2024 • 6:31 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah meluluskan sebanyak 72,534 kes pengakuan sukarela dan sejumlah RM652.5 juta taksiran cukai telah dilaporkan yang mana sebanyak RM284 juta berjaya dikutip setakat 29 Feb, 2024.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata bagi meningkatkan kadar pematuhan cukai, pelbagai langkah dan inisiatif telah dirangka dan sedang giat dilaksanakan oleh LHDN.

Di antaranya ialah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperluas bilangan pembayar cukai dan menggalakkan pematuhan cukai bagi meningkatkan hasil negara.

“PKPS 2.0 dilaksanakan oleh LHDN dengan tawaran penalti pada kadar sifar peratus bagi pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh 6 Jun, 2023 sehingga 31 Mei, 2024.

“Sekiranya pembayar cukai gagal menjelaskan baki cukai pada akhir tempoh PKPS 2.0, tindakan undang-undang boleh diambil dan pembayar cukai boleh diaudit atau disiasat pada masa hadapan,“ katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Jelasnya, LHDN menjalankan aktiviti audit dan siasatan secara berterusan untuk mendapatkan kembali cukai dan hasil yang gagal dikutip sebelum ini dengan memfokuskan kepada pembayar cukai yang mempunyai risiko cukai yang tinggi berdasarkan kategori fail syarikat, selain syarikat, penggajian dan majikan.

“Secara keseluruhan, jumlah cukai tambahan dan penalti yang telah dibangkitkan daripada hasil pengauditan sepanjang tahun 2022 dan 2023 adalah masing-masing sebanyak RM8.2 bilion dan RM6.2 bilion,” katanya.

Beliau berkata LHDN juga mengambil tindakan guaman sivil dan pendakwaan berdasarkan undang-undang untuk menuntut semula hasil cukai yang gagal dipungut.

Menurut Lim, jumlah cukai yang berjaya dikutip termasuk kompaun dan denda bagi tahun 2022 dan 2023 adalah masing-masing sebanyak RM709.7 juta dan RM465 juta.

Lim berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris tentang jumlah penalti dan hasil bukan cukai yang berjaya diperoleh LHDN untuk mendapatkan kembali cukai dan hasil yang gagal dikutip antaranya melalui PKPS 2.0 atau kaedah-kaedah lain sepanjang tahun 2022 dan 2023. -Bernama