LHDN perlu tegas dan adil kenakan cukai kepada semua pihak - PM Anwar

LocalPolitics
3 Nov 2026 • 3:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LHDN perlu tegas dan adil kenakan cukai kepada semua pihak - PM Anwar Image from: LHDN perlu tegas dan adil kenakan cukai kepada semua pihak - PM Anwar hamden03/11/2026 - 15:41 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip keadilan menuntut supaya peraturan percukaian dilaksanakan secara sama rata terhadap semua pihak.

 

Menurutnya, tidak adil sekiranya pekerja yang jujur perlu membayar cukai daripada hasil titik peluh mereka, sedangkan golongan kaya menyembunyikan pendapatan menerusi pelbagai lapisan dan kaedah perakaunan.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan merujuk sistem e-invois sebagai instrumen penting untuk menegakkan keadilan, mengesan ketidakpatuhan serta memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab masing-masing.

 

"Bersikap adil dalam sistem percukaian merupakan tonggak ketamadunan dan aspirasi utama Malaysia MADANI," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Inovasi dan Integriti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya hari ini.

 

Ucapan Anwar dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Anwar turut menegaskan pelaksanaan e-invois bukan bertujuan membebankan rakyat atau memperkenalkan cukai baharu, sebaliknya memastikan semua pihak menunaikan tanggungjawab masing-masing.

 

2 bilion e-invoice dikemukakan

Sehingga Isnin (2 November), sebanyak 2.14 bilion e-invois telah dikemukakan oleh kira-kira 269,900 pembayar cukai.

 

Menerusi usaha meningkatkan pematuhan, Anwar berkata lebih 97,000 pembayar cukai tampil secara sukarela mengemukakan penyata cukai bagi tahun-tahun sebelumnya, dengan jumlah cukai perlu dibayar sebanyak RM1.68 bilion.

 

"E-invois membantu memelihara keadilan dalam sistem percukaian dengan memastikan urus niaga perniagaan lebih telus serta mengesan sebarang ketidakwajaran.

 

"Pada masa sama, LHDN perlu bertindak tegas. Bagaimanapun, bantuan perlu dihulurkan kepada mereka yang memerlukan sokongan atau panduan.

 

"Sentiasa junjung integriti dalam setiap perkara yang dilakukan, tetapi jangan sesekali hilang nilai kemanusiaan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved