liza17/04/2026 - 09:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 April – Rimbunan Sawit Bhd menerima pendapat audit tidak diubah suai daripada juruaudit luarnya, Crowe Malaysia PLT bagi penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Menurut juruaudit, penyata kewangan syarikat telah disediakan mengikut piawaian perakaunan yang ditetapkan, namun wujud keadaan tertentu yang boleh menimbulkan keraguan signifikan terhadap kemampuan kumpulan untuk meneruskan operasi pada masa hadapan.
Keadaan ini merujuk kepada risiko kewangan yang dihadapi syarikat walaupun operasi perniagaan masih diteruskan seperti biasa.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan perladangan itu berkata juruaudit menekankan bahawa keadaan tersebut merupakan “emphasis of matter” dan bukan pengubahsuaian kepada pendapat audit.
Ia bermaksud penyata kewangan masih mematuhi piawaian perakaunan yang ditetapkan walaupun terdapat risiko yang dibangkitkan.
Juruaudit mendapati liabiliti semasa kumpulan melebihi aset semasa sebanyak RM119.9 juta pada 31 Disember 2025, menunjukkan wujudnya ketidakpastian material yang boleh menimbulkan keraguan signifikan terhadap keupayaan kumpulan untuk meneruskan operasi pada masa hadapan.
Selain itu, juruaudit turut mengenal pasti penilaian terhadap potensi penurunan nilai (impairment) aset ladang kelapa sawit sebagai perkara audit utama, dengan aset berkenaan mencatat nilai bawaan sebanyak RM534.1 juta tanpa sebarang pelarasan penurunan nilai direkodkan sepanjang tahun kewangan tersebut.
Menurut laporan itu, beberapa ladang dalam kumpulan telah mencatat kerugian yang menunjukkan kemungkinan keperluan untuk semakan semula nilai aset kerana penentuan jumlah boleh pulih melibatkan pertimbangan dan anggaran yang signifikan.
Isu ketidakpastian material berkaitan status usaha berterusan Rimbunan Sawit telah dibangkitkan oleh juruaudit untuk tahun kelima berturut-turut, menunjukkan bahawa perkara tersebut masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
Rimbunan Sawit, yang merupakan cabang perladangan kepada konglomerat Sarawak Rimbunan Hijau Group, berkata kumpulan itu masih mencatat pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi FY2025 serta menjangka aliran tunai operasi positif pada tahun kewangan akan datang.
Kumpulan itu turut menegaskan ia mempunyai akses kepada kemudahan perbankan yang belum digunakan serta tidak mempunyai sebarang kegagalan pembayaran obligasi, namun mengakui sebahagian kemudahan jangka pendek tertakluk kepada proses pembaharuan dan bukan sepenuhnya dalam kawalan kumpulan.
Walaupun begitu, syarikat mengakui pendedahan kepada risiko luaran seperti turun naik harga minyak sawit mentah, perubahan cuaca dan gangguan pengeluaran, isu tenaga kerja, serta peningkatan kos input boleh memberi kesan kepada prestasi kewangan dan kecairan kumpulan.
Setakat penutupan dagangan, saham Rimbunan Sawit meningkat 0.5 sen atau 2.8% kepada 18.5 sen, dengan nilai pasaran sekitar RM377.7 juta. - DagangNews.com
