Libat urus pastikan ternakan siakap tempatan terus dapat permintaan

16 Nov 2026 • 10:14 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Ternakan siakap tempatan

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri mengadakan dua sesi libat urus bersama pengusaha akuakultur tempatan bagi memastikan hasil ternakan tempatan terus mendapat permintaan di samping memperkukuh pasaran domestik.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata, langkah itu bertujuan membantu penternak tempatan mengurangkan kesan sekatan eksport ikan siakap ke Thailand sejak Mei lalu.

Katanya, libat urus tersebut diadakan bagi mendengar masalah dibangkitkan oleh pengusaha serta membincangkan isu itu secara mendalam dan menyelaraskan tindakan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

“Siri pertama diadakan pada Mei lalu bersama Ketua Menteri manakala siri kedua pada Julai lalu bersama Ketua Pengarah Perikanan Malaysia bagi membincangkan isu berkenaan serta mendapatkan maklum balas daripada pengusaha.

“Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melaksanakan Program Pesona-Rasa Akuakultur bagi memperkasa pasaran domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isu sekatan eksport ikan siakap Malaysia ke Thailand mula berbangkit pada Mei lalu apabila tindakan pihak berkuasa negara itu menahan penghantaran sehingga tiga hari menyebabkan pengeksport Malaysia mengalami kerugian apabila ikan yang dihantar rosak dan tidak lagi boleh dipasarkan.

Jelas Rashidi, program berkenaan diadakan di Dewan PERDA, Sungai Acheh pada 15 Ogos lalu dengan memberi tumpuan kepada promosi serta jualan hasil ternakan tempatan khususnya ikan siakap bagi menggalakkan sokongan masyarakat terhadap produk akuakultur tempatan.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Rashidi berkata, kerajaan negeri turut memantau rapat isu sekatan eksport ikan siakap Malaysia ke Thailand yang urusan rundingan serta penyelarasan teknikalnya kini dikendalikan DOF di peringkat Persekutuan.

Katanya, isu berkenaan membabitkan hubungan dua hala serta dasar perdagangan agromakanan negara. – UTUSAN

The post Libat urus pastikan ternakan siakap tempatan terus dapat permintaan appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved