PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan sesi libat urus bersama Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) bagi membincangkan kesan penyelarasan harga bahan api terhadap operasi perkhidmatan terbabit.
Sesi berlangsung pada Jumaat yang dipengerusikan Setiausaha Bahagian Kawal Selia Petroleum KPDN, Mohd Nazib Che Din itu menekankan keprihatinan kerajaan terhadap kebergantungan sektor berkenaan kepada kos bahan api.
Justeru, bas dan van sekolah disenaraikan sebagai pengangkutan darat awam yang layak memohon kad fleet (fleet card) bagi pembelian bahan api bersubsidi.
Dalam usaha rasionalisasi subsidi, kerajaan memperkenalkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi memastikan penyasaran subsidi lebih berfokus.
Melalui inisiatif tersebut, kadar harga bahan api ditetapkan pada kadar RM2.05 bagi SKPS kenderaan pengangkutan darat awam, barangan dan air awam, manakala RM1.888 pula bagu SKDS pengangkutan darat awam dan RM2.15 bagi pengangkutan darat barangan.
Libat urus berkenaan turut melibatkan beberapa agensi berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan (MOT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan wakil syarikat operator minyak.
Perbincangan memberi tumpuan kepada tatacara permohonan subsidi melalui sistem MySubsidi, permohonan kad fleet, penetapan kuota bahan api serta cadangan memperkukuh sektor pengangkutan sekolah.
Sementara itu, Presiden PPPBSM, Amali Munif Rahmat menyambut baik sesi libat urus tersebut dan menghargai komitmen KPDN serta agensi terlibat dalam memastikan kelancaran operasi perkhidmatan bas dan van sekolah.
Beliau berkata, hasil perbincangan itu akan disalurkan kepada ahli persatuan bagi memastikan pengusaha mendapat manfaat optimum daripada pelaksanaan subsidi bersasar kerajaan.






