Liew Chin: Kestabilan politik, dasar beri peluang lonjakkan kembali ekonomi negara

Business & Finance
2 Mar 2024 • 1:20 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kestabilan politik, dasar ekonomi berpandangan jauh dan transisi hijau menyediakan peluang keemasan untuk melonjakkan ekonomi negara buat kali kedua selepas lonjakan pertama pada awal dekad 1990-an.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI) Liew Chin Tong (gambar) berkata persaingan antara China dan Amerika Syarikat (AS) telah membawa masuk pelaburan ke rantau Asia Tenggara dan Malaysia antara yang meraih manfaat daripadanya.

“Apabila pelabur membuat perhitungan, mereka tahu Malaysia mempunyai logistik yang baik, kerangka Common Law yang adil, dan banyak pekerja fasih dalam beberapa bahasa di samping cukup berpendidikan.

“Ini merupakan peluang untuk Malaysia membuat lonjakan kedua. Lonjakan pertama telah berjaya dibuat pada awal dekad 1990-an apabila pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, gaji yang dibayar, dan peningkatan taraf hidup rakyat berada dalam suasana positif,” katanya.

Liew berkata demikian menerusi catatan di blognya bertajuk “Lonjakan Kedua Ekonomi Malaysia” yang merupakan perkongsian ucapan beliau semasa sesi perbincangan Diskusi Madani: Aspirasi Perpaduan Memperkukuhkan Agenda Bumiputera di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024), baru-baru ini.

Menurutnya, melalui peluang tersebut Malaysia berpotensi mengembangkan pertumbuhan ekonomi negara dan menetapkan sasaran yang lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, katanya, Malaysia tidak perlu bersaing dengan negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia untuk menarik pelaburan, kerana kekuatan ekonomi negara telah meletakkan Malaysia tidak kurang daripada kemampuan Singapura.

Malahan dari segi perkhidmatan teknologi Malaysia tidak berada terlalu jauh di belakang Singapura malah kita mampu menyediakan perkhidmatan yang sama, katanya. -Bernama