Life Water beli syarikat sos Sabah, Twinine bernilai RM10.5 juta

29/05/2025 - 12:49
Gambar/FB Life Water Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 29 Mei - Life Water Bhd membeli syarikat pengeluar sos dan perencah yang berpusat di Sabah, Twinine Sdn Bhd (TSB) dengan harga RM10.5 juta.
Life Water berkata, pemilik TSB, Wong Yoke Sim dan Wong Khai Keong masing-masing memegang 90% dan 10% kepentingan dalam syarikat itu.
Ia menjelaskan, pembelian tersebut dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman syarikat.
"Nilai aset bersih TSB yang diselaraskan setakat 31 Mac 2025 adalah sebanyak RM8.46 juta, merangkumi sebuah kilang dan sebuah gudang," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Syarikat itu berkata, harga pembelian dibuat berdasarkan keuntungan bersih TSB sebanyak RM963,000 dengan hasil tahunan RM8.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Life Water berkata, pembelian berkenaan bertujuan untuk menambah produk baharu dalam segmen sos dan perencah serta menggunakan rangkaian pengedaran sedia ada bersama keupayaan pengeluaran TSB.
"Selain itu, pembelian ini juga menyokong rancangan pertumbuhan masa depan syarikat, termasuk pembinaan kilang baharu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu," ujarnya.
Life Water menjangkakan urus niaga tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan. - DagangNews.com
standard

