Liftech raih kontrak RM25 juta bagi sistem pengendalian industri sektor aeroangkasa di Sepang

LocalBusiness & Finance
17 Jul 2026 • 9:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Liftech raih kontrak RM25 juta bagi sistem pengendalian industri sektor aeroangkasa di Sepang Image from: Liftech raih kontrak RM25 juta bagi sistem pengendalian industri sektor aeroangkasa di Sepang liza17/07/2026 - 09:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Julai – Kurang sebulan selepas disenaraikan di Pasaran ACE, Liftech Group Bhd terus mencatat perkembangan positif apabila memperoleh kontrak bernilai RM25 juta bagi membekalkan sistem pengendalian dan  komponen industri untuk sebuah pusat ujian aeroangkasa di Sepang, Selangor.

 

Kontrak itu diberikan oleh AME Construction Sdn Bhd, anak syarikat kepada AME Elite Consortium Bhd, kepada anak syarikat milik penuh Liftech, Liftech Engineering (KL) Sdn Bhd.

 

Perolehan tersebut dilihat sebagai satu lagi pencapaian penting buat Liftech apabila syarikat itu semakin mendapat kepercayaan untuk melaksanakan projek berteknologi tinggi yang memerlukan kepakaran kejuruteraan khusus.

 

Skop Kerja Bernilai Tinggi

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia,  ia berkata Liftech Engineering akan mengendalikan keseluruhan sistem pengendalian bagi bangunan utama projek, termasuk kerja mereka bentuk, pembuatan, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem.

 

Projek itu telah bermula pada 29 Mei 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 10 bulan. 

 

Fasa pertama dijangka siap pada 18 Januari 2027 sebelum baki kerja di bawah Fasa 2 diselesaikan menjelang 15 Mac tahun yang sama.

 

Antara komponen utama yang akan dipasang termasuk kren jambatan, rel landasan kren, sistem cengkaman automatik, troli pengangkat, sistem bekalan kuasa rel serta pelbagai sistem elektrik berkaitan.

 

Pengarah Urusan Liftech Group, Bernard Ng berkata, kontrak itu membuktikan kemampuan syarikat memenuhi keperluan industri yang menuntut piawaian operasi dan keselamatan yang tinggi.

 

Menurut beliau, kemudahan dalam sektor aeroangkasa memerlukan sistem pengendalian yang direka secara khusus bagi memastikan setiap proses berjalan dengan cekap, tepat dan selamat.

 

"Kejayaan memperoleh projek ini mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan kejuruteraan serta rekod prestasi yang telah kami bina selama ini dalam melaksanakan projek-projek industri," katanya dalam satu kenyataan.

 

Manfaatkan Pelaburan Berkualiti

Beliau berkata, peningkatan pelaburan ke Malaysia dalam sektor seperti aeroangkasa, semikonduktor dan pusat data terus membuka ruang kepada syarikat tempatan yang memiliki kepakaran teknikal untuk berkembang.

 

Jelasnya, Liftech akan terus memanfaatkan peluang tersebut dengan memperkukuh keupayaan kejuruteraan serta memastikan setiap projek disiapkan mengikut standard yang ditetapkan bagi menyokong pertumbuhan syarikat dalam jangka panjang.

 

Liftech membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 30 Jun lalu menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 29 sen sesaham.

 

Melalui penyenaraian tersebut, Liftech mengumpul dana RM23 juta yang sebahagian besarnya akan digunakan untuk mengurangkan komitmen pinjaman bagi pembelian pusat operasi di Pulau Pinang dan Sabah, selain membiayai pembelian peralatan baharu, menaik taraf kemudahan sedia ada, memenuhi keperluan modal kerja dan menampung kos penyenaraian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved