Liga Super: JDT tundukkan NSFC 3-1

Football
18 May 2024 • 7:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Salah satu aksi ketika perlawanan JDT melawan NSFC dalam Perlawanan Liga Super Malaysia 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu. Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) menundukkan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan Liga Super Malaysia 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada Sabtu.

Kemenangan tersebut hasil jaringan Bergson Da Silva dan Jordi Amat manakala jaringan pasukan pelawat dihasilkan Hein Htet Aung.

Jaringan pertama skuad Harimau Selatan menerusi Bergson itu dicapai seawal minit ke-13 hasil hantaran Muhamad Feroz Baharudin yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti sehingga gagal ditampan kemas penjaga gol NSFC, Muhamad Aqil Abdul Razak.

Ledakan gol sekali lagi dilakukan Bergson empat minit kemudian menerusi percubaan dari dalam kotak penalti hasil hantaran belakang Nazmi Faiz Mansor.

Penyerang dari Brazil itu berpeluang mendapatkan jaringan hatrik pada minit ke-23 tetapi percubaannya terkena tiang.

Sementara itu, skuad Hobin Jang Hobin berhasil mendapatkan jaringan pertama mereka pada minit ke-28 selepas Htet Aung berjaya menyempurnakan peluang terhidang, selepas percubaan Takumi Sasaki diselamatkan pertahanan tuan rumah menjadikan kedudukan 2-1.

Separuh masa kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mencari jaringan tambahan dengan percubaan demi percubaan dibuat JDT dan NSFC.

JDT kemudian memperoleh gol ketiga selepas tandukan Jordi Amat hasil daripada sepakan penjuru melepasi jangkauan Muhamad Aqil, menjadikan kedudukan 3-1.

Kedudukan itu kekal sehingga masa penamat.

Terdahulu, sebelum perlawanan bermula, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menyampaikan trofi perlawanan Sumbangsih 2024-2025 kepada JDT.

JDT muncul juara Piala Sumbangsih dengan kemenangan 3-0 selepas diberikan kemenangan 'walkover' selepas Selangor FC menarik diri daripada menghadiri perlawanan pembukaan liga yang dijadual berlangsung pada 10 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

View Original Article