
YAN – Lima tahun berlalu, detik mencemaskan melihat datuknya dihanyutkan kepala air di kaki Gunung Jerai di sini, masih jelas dalam ingatan Syazwan Anas Abdul Mutalib, 44.
Walaupun trauma akibat tragedi pada 18 Ogos 2021 itu beransur hilang, dia mengakui kejadian tersebut meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.
Tragedi kira-kira pukul 4.30 petang itu mengorbankan enam nyawa dan menjejaskan lebih 2,000 penduduk apabila kepala air membawa batang kayu, batu besar serta lumpur menghentam kawasan perumahan dan premis di kaki gunung berkenaan.
Menceritakan semula kejadian, Syazwan berkata, ketika itu dia membantu datuknya, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, bekas imam sebuah masjid di sini, menguruskan Chalet Salak Denai berhampiran lokasi perkelahan Batu Hampar.
Katanya, pada masa itu hujan lebat dan paras air sungai mula meningkat menyebabkan dia segera memindahkan beberapa barangan ke dalam stor.
Menurut Syazwan, datuknya sedang berbaring di atas katil di bahagian hadapan rumah ditemani neneknya, Kalsom Abdullah, 83, dan anak sulungnya, Muhammad Hadif, 11.
“Selepas hujan lebat selama sejam, air sungai mula melimpah dengan deras dan memasuki beberapa chalet serta dorm penginapan menyebabkan dinding bangunan runtuh dan dihanyutkan arus.
“Saya cuba harungi air paras lutut menuju ke rumah datuk untuk pindahkannya, namun tidak berjaya apabila satu gelombang bersama kayu dan batu besar menghempas rumah tersebut,” katanya.
Syazwan berkata, dia melihat sendiri datuknya dihanyutkan arus bersama katil, manakala nenek dan anaknya turut tenggelam timbul sebelum tersangkut pada pokok mangga di belakang rumah yang runtuh.
Mayat Ku Shuib akhirnya ditemui empat hari kemudian di atas batu besar dan ditutupi kulit kayu oleh pasukan penyelamat.
“Sekurang-kurangnya kami dapat menemui jasadnya dan kebumi dengan sempurna,” katanya.
The post Lihat sendiri datuk dihanyutkan arus bersama katil appeared first on Kosmo Digital.
