
TAWAU: Anak muda khususnya pengundi berumur 18 tahun ke atas diajak melihat secara positif sisi usaha Kerajaan Negeri dalam membela nasib semua golongan tanpa mengira peringkat umur menerusi teras memperkasakan modal insan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berpendapat beliau percaya anak muda seharusnya mengamalkan gaya fikir sihat dengan melihat inisiatif-inisiatif yang sudah diambil Kerajaan Negeri.
“Teras SMJ 1.0 sendiri menekankan usaha pemerkasaan modal insan yang boleh dilihat menerusi banyak inisiatif diperkenalkan kepada rakyat khususnya membabitkan pendidikan, latihan keusahawanan dan sebagainya.
“Matlamat kerajaan mahu menjadikan Sabah ini maju dan berjaya tetapi jika kita berfikir secara emosi dikhuatiri rakyat akan terpedaya mahupun termakan hasutan pihak-pihak tertentu yang akhirnya merugikan diri sendiri,” katanya.
Nizam berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Bola Jaring Tertutup Peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Apas Piala Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di Bandar Sri Indah Batu 10 Jalan Apas pada Ahad.
Mengulas lanjut beliau berharap anak muda lebih berhati-hati dalam membuat penilaian tanpa mengenepikan kepentingan majoriti bukannya berlandaskan tuntutan emosi atau ego semata-mata.
“Jika kita membuat keputusan atau penilaian dengan hanya mementingkan diri atau kelompok kecil tertentu sudah tentu keadaan begini akan mengganggu proses perjalanan pembangunan yang dibawa oleh pihak kerajaan untuk manfaat bersama.
“Contohnya seperti baru-baru ini ada pihak yang mengambil kesempatan dalam insiden bencana alam dengan menyalahkan Sabah Electricity Sdn Bhd dan Kerajaan Negeri apabila menara telekomunikasi runtuh sedangkan ia bukan kehendak kita.
“Mereka sepatutnya menyokong segala usaha untuk memulihkan semula keadaan bukannya menjadikan insiden bencana alam sebagai jalan meraih kepentingan politik dengan membuat tuduhan,” ujarnya.
Menurutnya anak muda perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan acara politik yang disifatkan tidak bertanggungjawab.
Menyentuh hal berkaitan beliau memuji inisiatif sayap Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Apas yang mendekati anak muda melalui penganjuran program berbentuk acara sukan dan riadah.
Beliau berkata penyertaan ramai anak muda menunjukkan golongan wanita muda khususnya di kawasan Dun Apas sentiasa bersama dengan kepimpinan Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan segala agenda kerajaan dapat dinikmati diperingkat akar umbi.
Beliau berkata program sedemikian penting untuk memastikan lebih banyak bakat-bakat baru dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi selain mempromosikan gaya hidup sihat melalui acara sukan dan riadah.
