Lim Peir Shenq tarik balik surat peletakan jawatan pengarah eksekutif Pestech
zulfadli
08/08/2023 - 16:41
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pengarah Eksekutif Pestech International Bhd, Lim Peir Shenq menarik balik surat peletakan jawatan pada hari yang sama beliau meletakkan jawatan pada 7 Ogos 2023.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pestech berkata, Peir Shenq menarik balik peletakan jawatannya lewat petang semalam, tetapi tidak mendedahkan punca penarikan itu.
Semalam, syarikat teknologi kuasa elektrik bersepadu itu mengumumkan bahawa peletakan jawatan Peir Shenq berkuat kuasa pada 7 Ogos, dan bahawa peletakan jawatannya adalah "untuk mengejar kepentingan lain".
Individu berusia 38 tahun itu adalah anak kepada Lim Ah Hock, pengerusi eksekutif kumpulan. Beliau juga sepupu kepada Paul Lim Pay Chuan, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Pestech.
Ah Hock dan Pay Chuan kini merupakan pemegang saham terbesar Pestech, dengan Ah Hock memegang 30.875% kepentingan dan Pay Chuan 19.45%.
Bulan lalu, pasangan itu dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan terhadap mereka, membabitkan penyelewengan RM10.6 juta berhubung dengan Pestech Technology Sdn Bhd, sebuah unit Pestech.
Pestech Technology didakwa telah membuat pembayaran untuk kerja yang tidak dibuat oleh syarikat perunding, dan kedua-duanya telah dituduh bersubahat dalam pembayaran ini.
Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Pestech berkata, kumpulan itu telah melantik Mercury Securities Sdn Bhd sebagai penasihat bebas untuk menasihati pemegang saham kumpulan berkenaan dengan hasrat IJM Corp Bhd untuk mendapatkan pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia daripada membuat tawaran pengambilalihan mandatori. bagi baki saham dan waran Pestech yang tidak dimilikinya.
Dua minggu lalu, IJM muncul sebagai pemegang saham terbesar Pestech selepas melanggan 800 juta saham atau 44.83% kepentingan dalam Pestech pada harga RM124 juta, atau 15.5 sen sesaham.
Urus niaga itu dijangka selesai pada suku keempat 2023. - DagangNews.com




