
Kota Kinabalu: Pengarah Komunikasi Umno Sabah Ghazalie Ansing berkata tindakan lima Adun Barisan Nasional (BN) yang memilih untuk menyokong Datuk Seri Hajiji Noor mendedahkan warna sebenar mereka sebagai boneka GRS.
Beliau mendakwa lima pembelot parti itu semata-mata mahu memajukan kepentingan mereka sendiri selepas terpengaruh dengan tawaran Hajiji.
“Mereka lupa bahawa kedudukan mereka sekarang adalah kerana sokongan rakyat kepada Umno dan BN.
“Pemimpin parti yang sejati akan tetap setia dengan keputusan parti, berbanding lima Adun yang menjadi boneka kerana menentang parti.
“Mereka adalah pembelot yang sanggup dieksploitasi untuk menyerang parti sendiri semata-mata untuk memastikan mereka terus menikmati kekayaan dan kuasa yang dimiliki sekarang,” katanya. Ghazalie
Menurut Ghazalie, lima pembelot itu sanggup merayu dan meminta simpati sebelum menjadi wakil rakyat BN, tetapi selepas menang, mereka mula menunjukkan warna sebenar.
Beliau berkata Umno perlu mengambil tindakan serius untuk memberi pengajaran kepada Adun terbabit termasuk memecat sekiranya perlu.
Katanya, sudah tiba masanya Umno Sabah mencalonkan pemimpin baharu bagi memastikan kekuatan dan perpaduan parti dalam membuat keputusan.
“Saya percaya lima pembelot ini telah menempah tiket keluar Umno, justeru terpulang kepada pertimbangan pucuk pimpinan parti untuk mengambil tindakan segera.
“Sudah tentu, ada ramai lagi orang yang boleh dicalonkan sebagai pemimpin pada masa hadapan.
“Tiada sebab untuk mengekalkan lima pembelot ini kerana akhirnya mereka akan bertukar menjadi boneka GRS yang akan membakar parti sendiri untuk kepentingan peribadi,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
