Lima daerah terjejas banjir di Sabah, mangsa terus meningkat

LocalEnvironment
25 Feb 2026 • 5:07 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KOTA KINABALU – Situasi banjir di Sabah menunjukkan peningkatan apabila lima daerah kini terjejas dengan jumlah mangsa meningkat kepada 2,616 orang setakat pukul 4 petang hari ini.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, daerah terlibat ialah Pitas, Sook, Sipitang, Beaufort dan Membakut.

“Setakat jam 4 petang, jumlah penduduk terjejas akibat banjir meningkat kepada 2,616 orang, melibatkan 1,225 ketua isi rumah daripada 140 kampung di lima daerah,” katanya dalam satu kenyataan. 

Empat daerah baharu yang dilaporkan terjejas ialah Sook, Sipitang, Beaufort dan Membakut, menjadikan keseluruhan lima daerah kini berada dalam kategori bencana banjir berbanding hanya satu daerah pada laporan tengah hari.

Pitas kekal sebagai daerah paling terjejas dengan 930 ketua isi rumah membabitkan 1,777 penduduk, manakala Beaufort mencatat 359 mangsa, diikuti Membakut 211 orang, Sipitang 196 orang dan Sook 73 orang.

Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Sabah, pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan bantuan dan operasi penyelamatan berjalan lancar.

“Operasi pemantauan dan bantuan kepada mangsa banjir diteruskan, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan penduduk serta keperluan asas di pusat pemindahan,” katanya. 

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan, manakala 10 pusat pemindahan sementara diaktifkan bagi menempatkan mangsa terjejas.