Lima Geng Lakino Garuda dihadap ke mahkamah

28 Aug 2026 • 2:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lima Geng Lakino Garuda dihadap ke mahkamah

KUANTAN:  Lima ahli Geng Lakino Garuda yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel solar dan komponen komunikasi di empat negeri termasuk Pahang, diheret ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Teo Sun Wei, 36, merupakan rakyat tempatan manakala empat yang lain iaitu  Roy Padri, 26, Sare Tamanto, 35, Larino, 41, dan Supono, 56, merupakan warga Indonesia.

Mengikut kertas pertuduhan,  mereka secara bersama didapati memiliki harta curi iaitu tujuh gulung  kabel kepunyaan RE Gebeng Sdn. Bhd. Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di kawasan semak di tepi pagar kawasan projek solar di negeri ini pada 28 Jun lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan  yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Semua  tertuduh mengaku faham ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Tuan Ruzuaini  Tuan Lah namun masing-masing mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi sementara tertuduh warga tempatan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tok Hong Chen manakala empat tertuduh warga asing diwakili peguam, Azrul Hakimi Ramli.

Muhammad Najmi meminta mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 kepada tertuduh Sun Wei manakala tiada jaminan ditawarkan kepada empat tertuduh lain memandangkan mereka merupakan warga asing tanpa permit sah.

Hong Cheng kemudian meminta mahkamah menawarkan jaminan rendah memandangkan anak guamnya masih menanggung ibunya yang uzur dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,500 kepada Sun Wei manakala tiada jaminan ditawarkan kepada empat tertuduh lain. Kes disebut semula pada 1 Oktober ini.

Keempat-empat tertuduh warga asing itu turut berdepan tuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) (Pindaan 2002) kerana memasuki negara ini tanpa permit sah.

Sebelum ini media melaporkan, polis Pahang  menumpaskan sindiket dikenali sebagai Geng Lakino Garuda yang dipercayai terlibat dalam siri kecurian kabel solar dan komponen telekomunikasi di sekitar negeri ini membabitkan kerugian RM912,000.

Sindiket itu dipercayai terlibat dalam 21 kes yang dilaporkan antara Februari hingga Jun lalu melibatkan lima kes di Pahang, lapan kes di Perak, lima kes di Negeri Sembilan dan tiga kes di Terengganu. – UTUSAN

The post Lima Geng Lakino Garuda dihadap ke mahkamah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved