Lima hari paling mendebarkan

LocalHealth & Fitness
21 May 2026 • 1:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lima hari paling mendebarkan
Tumpuan petugas perubatan kini terarah sepenuhnya kepada operasi Masyair yang dianggap sebagai “medan peperiksaan sebenar” musim haji kali ini.
Image from: Lima hari paling mendebarkan
Ketua Pakar Perubatan Operasi Haji Tanah Suci, Dr Taufiq Rosli.

MAKKAH – Debaran menjelang kemuncak ibadah haji kini semakin dirasai seluruh jemaah Malaysia di Tanah Suci.

Namun bagi 283 petugas rombongan perubatan, tumpuan mereka kini terarah sepenuhnya kepada operasi Masyair yang dianggap sebagai “medan peperiksaan sebenar” musim haji kali ini.

Ketua Pakar Perubatan Operasi Haji Tanah Suci, Dr Taufiq Rosli berkata, walaupun fasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina hanya berlangsung selama lima hari, tempoh itu merangkumi kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan beban tugas perubatan sepanjang musim haji.

**media[3528056]**

Menurutnya, petugas khususnya yang pertama kali menyertai misi haji perlu bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi fasa paling kritikal itu.

“Kami sentiasa mengingatkan petugas bahawa apa yang mereka hadapi di klinik maktab ketika ini belum mencecah separuh daripada cabaran sebenar.

“Fasa Masyair adalah ujian sebenar buat semua petugas perubatan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tiada lagi pusat rawatan pesakit dalam

Dr Taufiq berkata, operasi musim ini turut berdepan perubahan besar apabila kerajaan Arab Saudi tidak lagi membenarkan negara luar membuka pusat rawatan pesakit dalam (inpatient) sendiri seperti Pusat Rawatan Syisyah yang pernah beroperasi sebelum ini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pasukan perubatan hanya mempunyai tempoh sekitar satu jam di unit kecemasan untuk menstabilkan jemaah sebelum pesakit dirujuk ke hospital Arab Saudi sekiranya keadaan masih tidak terkawal.

“Jika tekanan darah, paras gula atau tahap oksigen gagal distabilkan dalam tempoh itu, jemaah perlu dihantar terus ke hospital tempatan,” katanya.

Bagi mengimbangi ketiadaan pusat rawatan tetap, rombongan perubatan memperkenalkan inisiatif Klinik Pakar Bergerak (Visiting Specialist Clinic).

Melalui pendekatan itu, pakar dalam bidang respiratori, kardiologi, psikiatri dan ortopedik turun terus ke bilik jemaah di maktab bagi melakukan pengesanan awal atau tagging terhadap jemaah berisiko tinggi.

“Daripada menunggu jemaah datang mendapatkan rawatan, pakar sendiri turun padang untuk mengenal pasti mereka yang memerlukan pemantauan rapi.

“Langkah ini penting supaya kita mengetahui lokasi jemaah berisiko tinggi apabila operasi Masyair bermula nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui kebimbangan terhadap jemaah yang masih menerima rawatan di hospital tempatan.

Menurutnya, disebabkan ketiadaan program Safari Wukuf tahun ini, jemaah yang tidak dibenarkan keluar hospital ketika hari wukuf akan dianggap tidak mempunyai istita’ah atau kemampuan kesihatan untuk menunaikan haji.

Dehidrasi ancaman utama jemaah

Mengulas trend kesihatan jemaah musim ini, Dr Taufiq berkata, masalah dehidrasi dikenal pasti antara punca utama kemerosotan kesihatan jemaah.

Katanya, ramai jemaah sengaja mengurangkan pengambilan air kerana bimbang perlu kerap ke tandas atau menyusahkan urusan ketika berada di Masjidilharam.

“Sikap ini sangat berbahaya kerana apabila badan kekurangan air, ia memberi tekanan kepada organ dalaman.

“Keadaan itu boleh menyebabkan tekanan darah meningkat dan seterusnya mengundang serangan jantung serta strok,” katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat sedikit peningkatan kes strok musim ini akibat kegagalan segelintir jemaah mengambil ubat rutin secara konsisten.

Pada masa sama, beliau merayu agar jemaah tidak menyembunyikan masalah kesihatan kerana takut dihantar ke hospital Arab Saudi.

“Terdapat kes jemaah menyimpan sakit sehingga 10 hari sebelum mendapatkan rawatan menyebabkan keadaan menjadi semakin kronik,” katanya.

Pengajaran rohani di Tanah Suci

Di sebalik tekanan dan cabaran besar yang dihadapi, Dr Taufiq menyifatkan tugas di Tanah Suci turut meninggalkan pengajaran rohani yang mendalam kepada petugas perubatan.

Beliau berkongsi pengalaman mengendalikan seorang jemaah yang mengalami gangguan kesedaran (adjustment disorder) sehingga tidak menyedari keberadaannya sepanjang menerima rawatan di wad.

“Ajaibnya, sebaik sahaja waktu wukuf bermula di Arafah, jemaah itu tiba-tiba sedar sepenuhnya dan mampu berniat serta berwukuf dengan sempurna.

“Namun selepas keluar dari Arafah, dia kembali tidak sedarkan diri. Sebagai doktor pakar, pengalaman seperti ini mengajar kami bahawa sehebat mana usaha manusia, kesembuhan dan peluang beribadah itu tetap milik ALLAH SWT,” katanya.

Menurut beliau, sinergi antara pelbagai sektor termasuk farmasi, pasukan retrieval dan paramedik kini terus diperkemas bagi memastikan kebajikan serta rawatan optimum dapat diberikan kepada setiap jemaah sepanjang operasi Masyair.b