
KUALA LUMPUR – Sebanyak lima kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) , Azuri Azizah Saedon berkata, lima kawasan tersebut ialah di IPD Serian dengan IPU ( 171), Kuching (154), Samarahan (154), Sri Aman (139) dan Bintulu (124), Sarawak.
Beliau berkata, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 7 Ogos, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat 643 titik panas (hotspot) dikesan di Kalimantan.
Selain itu, 17 titik panas (hotspot) dikesan di Sumatera dan 25 titik panas (hotspot) dikesan di dalam negara iaitu 22 di Sarawak, dua Selangor dan satu di Terengganu.
“Beberapa titik panas turut dikesan terutamanya dibeberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sarawak, bahagian selatan dan tengah Sumatera serta bahagian timur Pulau Jawa.
“Kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru itu Azuri Azizah berkata, pihaknya telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi Kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.
“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lima kawasan Sarawak catat IPU tidak sihat appeared first on Kosmo Digital.




