Lima langkah segera tangani banjir KL, Selangor

LocalEnvironment
23 Aug 2026 • 11:59 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lima langkah segera tangani banjir KL, Selangor

PETALING JAYA – Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan lima langkah utama bagi mengurangkan risiko banjir di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut kenyataan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, langkah pertama ialah mengadakan mesyuarat teknikal dalam tempoh dua minggu bagi memperincikan lokasi, skop projek, kos, sumber pembiayaan dan kaedah pelaksanaan.

Menurutnya, lima langkah berkenaan akan diperincikan mengikut lokasi, agensi pelaksana, anggaran kos, sumber pembiayaan dan tempoh pelaksanaan.

“Langkah kedua membabitkan kajian kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gates bagi menentukan sama ada kedua-dua empangan itu mampu memenuhi keperluan pengurusan air untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Langkah ketiga adalah mengenal pasti lokasi sesuai di kawasan hulu sungai untuk pembinaan kolam takungan banjir baharu, termasuk di Selangor. Penilaian akan mengambil kira kesesuaian teknikal, status tanah serta kesan terhadap alam sekitar dan komuniti.

“Langkah keempat pula menyaksikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor mengenal pasti tiga kolam sedia ada untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti takungan, iaitu Kolam Kampung Laksamana, Kolam Sungai Kertas dan kolam di Bukit Lagong,” katanya, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kolam di Bukit Lagong terletak dalam kawasan hutan simpan yang perlu dinyahwartakan bagi membolehkan kawasan itu digunakan sebagai kolam takungan.

“Langkah kelima ialah menyelaras kerja pengorekan dan pembuangan mendapan sungai di Kuala Lumpur serta Selangor yang memerlukan tindakan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut membantu mengenal pasti tapak seluas 30 ekar di Selangor bagi pelupusan mendapan hasil kerja pengorekan.

“Keutamaan kedua-dua pentadbiran adalah mengurangkan risiko banjir, memperkukuh daya tahan bandar dan meredakan kebimbangan penduduk Kuala Lumpur serta Selangor ketika musim hujan,” katanya.

Menurutnya, kerjasama tersebut melibatkan aspek pengurusan tanah, kapasiti takungan air, kawasan hijau, pembangunan bandar mampan dan sistem saliran bagi memastikan pengurusan banjir dilaksanakan secara lebih tersusun serta bersepadu. – KOSMO! ONLINE

The post Lima langkah segera tangani banjir KL, Selangor appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved