Lima maut, BMW hilang kawalan rempuh empat kenderaan

2 Jun 2026 • 8:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lima maut, BMW hilang kawalan rempuh empat kenderaan
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27 Jalan Renggam-Simpang Renggam mengorbankan lima mangsa pada Isnin.

KLUANG – Aksi dua kereta mewah yang dipercayai dipandu laju dan melulu mengakibatkan kemalangan membabitkan lima kenderaan sehingga meragut lima nyawa, termasuk pasangan suami isteri, di Kilometer 27 Jalan Renggam-Simpang Renggam di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut pada jam 1.15 tengah hari.

Menurutnya, kemalangan itu melibatkan sebuah BMW 530e, Mercedes-Benz A250, Perodua Alza, Toyota Vios dan Proton Wira.

"Siasatan awal mendapati BMW 530e yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.

"Kenderaan itu dipercayai dipandu laju dan melulu bersama sebuah Mercedes-Benz A250.

"Setibanya di lokasi kejadian, BMW 530e hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh empat kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, selepas rempuhan itu, BMW 530e berkenaan terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di seberang jalan.

Menurutnya, ketika kejadian, Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah Mercedes-Benz sedang bergerak dari arah bertentangan.

Akibat kemalangan itu, empat individu yang menaiki Toyota Vios iaitu Mohd Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latif, 33; Semek Mat Soh, 75; dan Nur Airish Syifa Sidek, 10, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kesemua mangsa yang beralamat di Taman Setia, Al Muktafi Billah Shah, Terengganu dilaporkan mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

“Pemandu BMW 530e turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada bahagian dada.

“Lapan lagi mangsa yang cedera dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Bahrin berkata, pemandu Mercedes-Benz A250 berusia 19 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 42(1) akta sama.

“Pemandu Mercedes-Benz A250 dan pemandu BMW 530e yang meninggal dunia merupakan adik-beradik.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada jam 10.30 pagi,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Ismail Mamat berkata, kemalangan berlaku di hadapan Penjara Simpang Renggam.

Menurutnya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.

“Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa berjaya diselesaikan sepenuhnya,” katanya.