Lima motosikal disita, 57 saman dikeluarkan dalam OP Samseng Jalanan di P.Pinang

13 Nov 2023 • 1:47 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BALIK PULAU: Polis menyita lima buah motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan pada Sabtu hingga awal pagi hari ini, di beberapa lokasi sekitar daerah Barat Daya di sini.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan kesemua motosikal itu disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Operasi itu dijalankan bermula 10 malam Sabtu diteruskan hingga 5 pagi hari ini di beberapa lokasi tumpuan mat rempit antaranya Bayan Lepas, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Bayan Baru.

“Secara keseluruhannya 57 keping saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas. Operasi itu juga dijalankan bagi memastikan motosikal mereka mengikut spesifikasi ditetapkan,“ menurut kenyataan itu.

Selain membendung samseng jalanan melibatkan mat rempit, operasi itu juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas sedia ada.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan turut tertumpu di lokasi tumpuan mat rempit melakukan aksi berbahaya dan mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian kes kecurian kenderaan, ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 307 saman dikeluarkan dalam operasi khas Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) serta Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di sekitar negeri itu.

Operasi yang dijalankan dua hari berturut-turut pada Jumaat dan Sabtu bermula 9 pagi hingga 12 tengah malam itu bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu serta pengusaha kenderaan komersial yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

“Saman dikeluarkan membabitkan kesalahan antaranya tiada lesen memandu, tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, membawa lebih muatan, muatan bahaya, bawa kayu penyendal secara tidak selamat dan tiada pemandu kedua bagi bas ekspres pemanduan melebihi 300 kilometer (km),“ menurut kenyataan itu.-Bernama