Lima organisasi terima pembiayaan awal bernilai AS$20,000 Futuremakers by Standard Chartered
zulfadli
08/03/2024 - 11:10
KUALA LUMPUR 8 Mac - Lima organisasi dipilih untuk menerima pembiayaan awal sebanyak AS$20,000 setiap satu pada majlis anugerah yang dianjurkan Futuremakers by Standard Chartered dan Mereka Innovative Education (Mereka) di bawah Program Keusahawanan Wanita (WiE).
Standard Chartered berkata, lima organisasi berkenaan, Early Minds by Ripple Community, LJD Corporation, Enable Oku Solutions (ENOKU), Edulab Dream Academy dan Conscious Choice Group (Keto) akan memulakan bimbingan selama enam bulan dengan pakar industri dan mereka.
Katanya, mereka akan menerima bimbingan meliputi aspek penting organisasi pembangunan merangkumi operasi perniagaan asas dan integrasi teknologi kepada taktik pemasaran dan perhubungan awam yang berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien berkata, melalui kepercayaan bahawa setiap orang mempunyai potensi untuk berkembang maju tanpa mengira jantina dan latar belakangm Futuremakers memperkasakan lebih 2.1 juta golongan muda global.
Katanya, ia melibatkan sebanyak 68% wanita dan gadis, dengan pendidikan, kebolehpasaran dan kemahiran keusahawanan.
"Ini mengukuhkan komitmen kami untuk memupuk generasi akan datang pembuat perubahan wanita kerana kami yakin bahawa mereka memainkan peranan penting dalam memangkin pertumbuhan ekonomi dan memupuk inovasi di Malaysia.
"Melalui inisiatif seperti WiE, kami berharap untuk memperkasakan lebih ramai wanita dengan alat, sumber dan bimbingan penting yang diperlukan untuk merangsang perubahan bermakna dan memacu kemajuan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau menekankan kepentingan memperkasakan usahawan wanita.
"Program WiE telah membuktikan ia sebagai satu lonjakan ke hadapan dalam membantu menutup jurang ketidaksamaan serta mempamerkan kepentingan sumbangan sektor swasta dalam membantu
kerajaan untuk memperjuangkan agenda wanita.
"Wanita itu menunjukkan ketabahan yang luar biasa dan keazaman dan saya berharap kisah mereka akan membuka jalan kepada rakyat Malaysia lain untuk mengikuti jejak langkah mereka," katanya.
Pada September 2023, Futuremakers dan Mereka melancarkan WiE di Malaysia untuk memperkasakan organisasi pimpinan wanita tempatan, menerusi penganjuran empat bengkel yang memfokuskan tema perniagaan kritikal yang menyaksikan 450 individu membentangkan idea mereka.
Selain itu, 20 organisasi dipilih untuk bootcamp pada Februari 2024. Fasa itu menyediakan bimbingan untuk mengukuhkan usaha niaga mereka, yang menawarkan peluang pembelajaran dan rangkaian yang mendalam. - DagangNews.com


