Lima pekerja ladang terpaksa masak nasi, risau diancam 18 ‘tetamu’ tidak diundang

6 Feb 2024 • 9:43 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

TAPAH: Jika semalam, mereka didatangi seorang ‘tetamu’ yang merupakan pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor meminta makan dan perlindungan, malam tadi lima pekerja ladang Projek Felcra Sungai Gempel di Tapah dikejutkan pula dengan kehadiran 18 lagi pendatang tersebut.

Penyelia Ladang Mohd Firdaus Salim (gambar) berkata beliau menerima maklumat kedatangan kesemua pendatang tanpa izin itu daripada pekerja ladang, yang menghantar pesanan Whatsapp kira-kira pukul 8.40 malam mengatakan mereka dalam ketakutan, kerana kedatangan mereka dalam jumlah yang besar.

“Lima pekerja ini yang ketakutan memasak nasi dan memberi makanan kepada kesemua pendatang tanpa izin itu dan membiarkan mereka tidur dalam bilik, iaitu menggunakan taktik sama seperti seorang tahanan yang datang semalam.

“Saya pula segera melaporkan kepada pihak polis dan Jabatan Imigresen lalu pergi bersama-sama ke rumah pekerja dengan beberapa kenderaan yang diparkir agak jauh, bagi mengelakkan tahanan itu menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berjalan kaki ke tempat kejadian,“ katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Firdaus berkata selepas pihak berkuasa tiba, tahanan-tahanan berkenaan bertindak menghalang pintu dan cuba melarikan diri melalui bumbung, selain memecahkan dinding untuk keluar dari rumah itu, namun gagal kerana seluruh kawasan telah dikepung.

Beliau berkata kelima-lima pekerja warga Indonesia itu kini mengalami trauma dan ditempatkan di rumah pekerja yang selamat, di kawasan Kampung Lubuk Katak bersama beberapa pekerja lain, berikutan tahanan memberitahu terdapat kira-kira 30 orang lagi pendatang tanpa izin yang lolos berada dalam sekitar kawasan tersebut.

Terdahulu pada Ahad, seorang pendatang tanpa izin yang lolos ditahan di rumah pekerja itu, yang terletak kira-kira lima kilometer dari depot selepas dia datang dalam keadaan lemah dan meminta makanan serta tempat perlindungan, daripada pekerja ladang yang kemudian melaporkan kepada pihak polis pada waktu malam.

Pada Khamis lepas, 131 pendatang melarikan diri dari blok lelaki Depot Imigresen Bidor pada kira-kira 9.50 malam dan dua daripadanya meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

Setakat pagi ini, seramai 83 pendatang tanpa izin yang telah diberkas semula termasuk 18 yang ditahan di ladang Projek Felcra Sungai Gempel, manakala operasi masih mengesan seramai 46 orang yang masih hilang. -Bernama