Lima pemula niaga terima geran Solarvest Innovation Lab 2023 

LocalBusiness & Finance
12 Jun 2023 • 6:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lima pemula niaga terima geran Solarvest Innovation Lab 2023

zulfadli

12/06/2023 - 18:19

KUALA LUMPUR 12 Jun - Pakar tenaga bersih, Solarvest Holdings Bhd mengumumkan secara rasmi lima penerima geran untuk Solarvest Innovation Lab 2023 (SIL 2023).

Irradisol, Flumen, DespaQ, Hydrozon, dan Hexacycle muncul sebagai lima pemula pilihan di bawah pusingan pendanaan awal untuk SIL 2023.

Pemilihan tersebut telah dibuat daripada lebih 30 kumpulan peserta yang memohon selepas pelancaran program itu pada 15 Februari 2023.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Siong berkata, kerjasama dengan rakan kongsi daripada pelbagai bidang akan memperkayakan strategi pertumbuhan permulaan dan memudahkan laluan mereka ke pasaran.

Katanya, dalam beberapa bulan akan datang, Solarvest bersama-sama dengan rakan kongsi program seperti Malaysia Digital Economy Corporation, Telekom Malaysia Bhd, OCBC Bank (Malaysia) Bhd, Microsoft Malaysia Sdn Bhd, Pitch Platforms Sdn Bhd, Alta Group Malaysia dan Common Ground Works Sdn Bhd akan menyediakan perkhidmatan yang meluaskan pengetahuan, kepakaran dan sumber menyokong pembangunan syarikat permula itu.

"Penerima geran itu dipilih dengan teliti panel hakim berdasarkan kualiti keusahawanan, daya maju cadangan perniagaan dan berpotensi untuk memberi kesan positif dan bermakna kepada alam sekitar.

"Setiap rumusan yang disampaikan penerima terserlah dengan sendirinya, menangani cabaran unik dan menawarkan pendekatan berbeza.

"Rumusan ini menangani pelbagai masalah alam sekitar dengan pendekatan inovatif, menunjukkan tahap kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

SIL ditubuhkan dengan objektif untuk memupuk, melaksanakan dan mengkomersialkan idea perniagaan tempatan yang inovatif dalam teknologi hijau, teknologi kewangan (fintech) dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Program permulaan terdiri daripada dua pusingan pembiayaan. Calon terpilih disediakan RM10,000 untuk mengesahkan konsep perniagaan mereka dalam tempoh enam bulan.

Berikutan ini, calon yang mempunyai idea perniagaan yang berdaya maju berpeluang menerima sekurang-kurangnya RM100,000 modal untuk melaksanakan idea mereka dalam tempoh 12 bulan. - DagangNews.com