Lima penuntut IKM maut, kereta bertembung treler

6 Sep 2025 • 2:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Lima penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu, maut selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori treler berhampiran Pusat Latihan Rela Negeri Sabah di Jalan Sulaman di sini, petang Jumaat.

Dalam nahas kira-kira jam 2 petang itu, lima mangsa masing-masing berusia 20 tahun dikenal pasti sebagai Harianto Anuar, Neil Stanly Pletinie, Mohammad Ikhwan Kurniawan, Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy dan Daniel Sarag Jimmy. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai sembilan anggota bergegas ke lokasi sejauh 29 kilometer berserta satu jentera, satu bot dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Kemalangan melibatkan sebuah lori treler membawa muatan batu kerikil dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang bertembung sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Lima mangsa berada dalam Toyota Wish dan dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya, menambah pemandu treler tersebut tidak cedera.

Ordine berkata, kesemua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 3.20 petang selepas memastikan sekitar lokasi selamat,” katanya.

Difahamkan, kenderaan dinaiki lima mangsa terbabit datang dari arah Sepanggar dan menuju ke Kota Belud.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan, mengatakan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kesemua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut manakala siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.

Seorang rakan penuntut yang menaiki kenderaan lain berkata mereka menyedari sesuatu tidak kena apabila kenderaan yang dinaiki mangsa gagal mengikut dari belakang.

“Kami berpatah balik dan disambut dengan pemandangan mengerikan,” katanya, menambah pensyarah mereka juga berada di lokasi kejadian.