
Seorang penceramah bebas mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini.
Lapor Sinar Harian, tertuduh yang berusia 41 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada hari ini dan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Tertuduh didakwa melakukan tiga pertuduhan amang seksual dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsangkan mangsa berusia 17 tahun.
Menurut fakta kes, difahamkan kejadian tersebut berlaku di ruang tamu serta tandas dalam sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022 antara 3 pagi hingga 5 pagi.
Dalam pada itu, tertuduh turut didapati melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berusia 16 tahun 10 bulan pada 6 Julai dan 5 Februari tahun ini antara lebih kurang 8.30 malam di tempat yang sama.
Sehubungan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika disabit bersalah.
Sementara itu, jaminan yang lebih tinggi terhadap tertuduh sebanyak RM15,000 dimohon oleh Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly kepada mahkamah, ekoran tertuduh melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.
Bagaimanapun peguam Mohamad Zahid Ahmad memohon agar hakim memberikan jaminan rendah terhadap anak guamnya dengan alasan pendapatan tertuduh telah terjejas sejak direman bulan lalu.
“Beliau juga telah hadir hari ini (Rabu) dan memberikan kerjasama dengan yang sangat baik,” katanya.
Difahamkan, tertuduh juga memerlukan bantuan daripada keluarganya untuk membantu menanggung kos jaminan tersebut.
Kemudiannya, jaminan sebanyak RM40,000 ditetapkan mahkamah bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh tidak boleh menghampiri mangsa serta saksi sehingga kes selesai.
Tertuduh diperlukan melaporkan diri serta menyerahkan pasport di balai polis berhampiran dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Disember ini.
Sumber: Sinar Harian
The post Lima Pertuduhan Amang Seksual, Penceramah Mengaku Tidak Bersalah appeared first on Siakap Keli.



