
MAKKAH, 20 MEI: Lima rakyat Malaysia ditahan pasukan keselamatan haji Arab Saudi kerana cuba memasuki Makkah tanpa permit haji, lapor Saudi Gazette.
Menurut pihak berkuasa, kesemua individu terbabit dipercayai cuba memasuki Kota Suci itu melalui laluan tidak berturap dan kawasan lembah bagi mengelak sekatan keselamatan.
Pihak berkuasa memaklumkan tindakan undang-undang telah diambil terhadap mereka.
Direktorat Jeneral Mujahideen Arab Saudi turut menggesa orang ramai mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan sepanjang musim haji 2026.
Menurutnya, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keselamatan dan kelancaran urusan jemaah haji selain menegaskan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Orang ramai diminta melaporkan sebarang pelanggaran dengan menghubungi talian 911 di wilayah Makkah, Madinah, Riyadh dan Wilayah Timur, manakala talian 999 bagi kawasan lain di Arab Saudi.
