
TAWAU: Polis menahan reman lima remaja selepas merampas 67.5 liter air ketum bernilai RM850 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pukat Tanjung Batu Laut pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata kesemua suspek tempatan berusia 22 hingga 24 tahun itu ditahan dalam satu Ops Gempur Khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah.
“Antara barangan yang dirampas ialah sebuah bekas oren dan 45 botol plastik lutsinar berkapasiti 1.5 liter berisi cecair berwarna coklat disyaki air ketum.
“Turut dirampas 10 paket plastik lutsinar berisi serbuk daun ketum, satu bekas plastik oren, sebuah periuk logam, tong gas LPG hijau-merah dan dapur besi,” katanya.
Mengulas lanjut Jasmin berkata suspek ditahan selepas didapati bertindak dalam keadaan mencurigakan semasa serbuan.
Menurutnya hanya seorang daripada mereka bekerja manakala selebihnya tidak mempunyai pekerjaan.
“Tiada dadah atau barang larangan ditemui pada mereka dan ujian air kencing kesemuanya negatif,” katanya sambil menambah semakan latar belakang juga mendapati mereka tiada rekod jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
