Lima remaja mengaku tidak salah

LocalPolitics
21 Aug 2025 • 10:38 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Lima remaja perempuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini, Rabu, atas pertuduhan mengeluarkan perkataan mencela terhadap pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, bulan lalu.

Kesemua mereka membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, dalam prosiding tertutup.

Mereka didakwa mengeluarkan perkataan mencela yang ditujukan kepada Zara Qairina, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 10 malam hingga 11 malam pada 15 Julai lalu.

Kelima-lima remaja berkenaan dituduh bersama di bawah Seksyen 507C(1)/34 Kanun Keseksaan kerana menggunakan atau mengeluarkan kata-kata ugutan, mencela atau menghina, atau komunikasi yang boleh menyebabkan seseorang diganggu, tertekan, takut atau cemas.

Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 25 Sept dan 16 Okt untuk pengurusan kes pra-bicara, manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada 8-12 Dis dan 15-19 Dis.

Kesemua remaja itu dilepaskan dengan ikat jamin RM5,000 setiap seorang bersama deposit RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan mengendalikan pendakwaan.

Peguam Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Elmer Prem Gunasan mewakili seorang daripada remaja tersebut, manakala empat yang lain diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.

Semua peguam yang mewakili lima remaja berkenaan bertindak secara pro bono.

Peguam kepada ibu arwah Zara, Noraidah Lamat — iaitu Hamid Ismail, Shahlan Jufri dan empat lagi — turut hadir dalam prosiding berkenaan.

Peguam Dominic Ghani dan Nabila Norsahar hadir sebagai pemerhati mewakili Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).

Dalam prosiding itu, mahkamah turut mengeluarkan Perintah Larangan (Gag Order) di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak.

Sebelum ini Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan kes kematian pelajar itu yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memutuskan untuk mendakwa beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.

AGC turut memaklumkan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.

Pada 12 Ogos, AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu, selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan PDRM berhubung kes tersebut.

Mahkamah Koroner di sini pada Isnin menetapkan 3 Sept ini untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.