Lima sekeluarga termasuk bayi maut nahas dua kenderaan

11 Jan 2025 • 10:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Nenasi-Rompin, berhampiran Kampung Sembayan, pada petang Sabtu. Foto BBP Kuala Rompin

image is not available
Kemalangan maut meragut lima nyawa termasuk seorang bayi di Jalan Nenasi- Rompin, pada Sabtu. Foto BBP Kuala Rompin

image is not available
Anggota BBP Kuala Rompin dan Nenasi membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Nenasi- Rompin pada petang, Sabtu. Foto BBP Kuala Rompin

PEKAN – Lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Nenasi-Rompin, berhampiran Kampung Sembayan, pada petang Sabtu.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin dan BBP Nenasi dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 7.14 petang.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kami mendapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Grand Livina dan Proton Wira Aeroback.

**media[2963589]**

“Operasi menggunakan pelbagai jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Toyota Hilux, Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bagi memberikan bantuan kecemasan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Uajr beliau, seorang lelaki dan wanita yang berada dalam Nissan Grand Livina mengalami kecederaan, manakala lima mangsa termasuk seorang bayi tersepit dalam Proton Wira Aeroback.

Beliau berkata, anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan kelima-lima mangsa yang tersepit.

**media[2963590]**

"Bagaimanapun, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

"Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Wan Ahmad Fadillah berkata, kes tersebut diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.