
WARNA dan corak bukan sekadar pelengkap penampilan, sebaliknya mampu mencerminkan personaliti serta keyakinan seseorang wanita dalam menggayakan fesyen pilihan mereka.
Pendekatan itulah antara identiti yang dibawa jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset sejak mula bertapak dalam industri lima tahun lalu.
Menggabungkan permainan warna ceria, motif cetakan tersendiri dan rekaan sedia pakai pada harga mampu milik, jenama itu perlahan-lahan membina kelompok pelanggan setianya.
Daripada sebuah label tempatan, Bayu Somerset kini berkembang dengan memiliki 25 cawangan fizikal di seluruh negara. Terbaharu, jenama berkenaan membuka outlet di pusat beli-belah 118 Mall, Merdeka 118, Kuala Lumpur, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian sepanjang perjalanan perniagaannya.
Cawangan seluas 2,640 kaki persegi itu turut dibuka bersempena ulang tahun kelima Bayu Somerset. Kehadirannya di lokasi berkenaan memperlihatkan perkembangan jenama tersebut dalam meneroka ruang niaga yang lebih luas, selain mendekati kelompok pengguna yang berbeza.

Pencapaian komersial
Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin berkata, pembukaan outlet terbaharu itu cukup bermakna kerana ia menjadi sebahagian daripada perjalanan lima tahun jenama berkenaan.
"Pembukaan cawangan baharu ini merupakan satu pencapaian komersial yang amat bermakna buat kami, apatah lagi ketika menyambut lima tahun dalam industri.
"Langkah ini juga membolehkan kami memperkukuh kehadiran fizikal, meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan serta memperkenalkan jenama kepada segmen pasaran baharu," katanya.
Walaupun terus mengembangkan perniagaan, Bayu Somerset tidak mahu kehilangan identiti yang selama ini menjadi tarikan utamanya.
Bagi jenama itu, fesyen seharusnya memberi ruang kepada wanita untuk bereksperimen dengan penampilan sendiri tanpa mengetepikan aspek keselesaan dan keyakinan.
"Di Bayu Somerset, kami percaya fesyen bukan sekadar busana yang disarung pada tubuh, tetapi bagaimana ia mampu membuatkan seseorang wanita berasa yakin, selesa dan bebas mengekspresikan diri.
"Cawangan baharu ini memberi kami ruang untuk memperkenalkan dunia Bayu Somerset dengan lebih menyeluruh, daripada kepelbagaian rekaan dan permainan warna sehinggalah pengalaman membeli-belah yang lebih menyenangkan," ujarnya.

Dalam usaha meneruskan momentum pertumbuhan, Bayu Somerset menyasarkan untuk menambah tujuh lagi cawangan bagi mencapai 32 outlet menjelang penghujung tahun ini.
Lebih jauh, Asia Tenggara turut dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi untuk fasa pengembangan seterusnya. Langkah itu membuka ruang buat jenama berkenaan membawa identiti fesyen tempatan ke peringkat serantau.
Dalam meraikan pembukaan outlet terbaharu, majlis pelancaran turut diserikan dengan pertunjukan koleksi khas, persembahan kebudayaan oleh Akar Seni Malaysia serta persembahan penyanyi Iman Troye dan Aufahanie.

Lima tahun mungkin masih satu tempoh yang singkat dalam industri fesyen, namun perkembangan Bayu Somerset membuktikan jenama tempatan juga mempunyai ruang untuk berkembang dengan identiti tersendiri.
Apa yang lebih penting, perjalanan seterusnya bukan sekadar tentang pertambahan cawangan, tetapi bagaimana jenama itu terus mengekalkan kepercayaan pelanggan dan kekal relevan dengan perubahan cita rasa fesyen.
