Lima tahun tunggu, PGIRM desak kerajaan nilai KWSP bersasar

LocalPersonal Finance
15 Sep 2026 • 9:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lima tahun tunggu, PGIRM desak kerajaan nilai KWSP bersasar
PGIRM bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyerahkan Policy Paper KWSP Bersasar kepada Pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri pada 11 September lalu.

KUALA LUMPUR - Selepas hampir lima tahun memperjuangkan isu akses bersasar kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) kini menyerahkan keputusan kepada kerajaan untuk menilai cadangan berkenaan.

PGIRM bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyerahkan Policy Paper KWSP Bersasar kepada Pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri pada 11 September lalu.

Menurut PGIRM, kertas dasar itu turut akan dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan KWSP untuk perhatian serta penilaian lanjut.

Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, cadangan itu bukan untuk membuka ruang pengeluaran simpanan KWSP secara bebas, sebaliknya mewujudkan mekanisme yang bersasar, bersyarat, terhad dan terkawal.

“Kami tidak datang dengan alasan. Kami datang dengan cadangan.

“PGIRM tidak meminta kerajaan menerima cadangan ini secara membuta tuli, sebaliknya hanya meminta supaya ia dinilai secara objektif,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Lebih penting, katanya, cadangan berkenaan dibuat berdasarkan pandangan 5,150 pencarum yang mengambil bahagian dalam kajian PGIRM.

Beliau berkata, sebanyak 92.7 peratus responden bersetuju supaya kerajaan mengkaji mekanisme akses bersasar kepada simpanan KWSP bagi pencarum yang benar-benar berada dalam keadaan kritikal.

“Seramai 5,000 daripada 5,150 pencarum atau 97.1 peratus pula bersetuju supaya cadangan yang diperbaiki berdasarkan pandangan pencarum dibawa kepada kerajaan dan KWSP untuk pertimbangan,” katanya.

Azmi berkata, antara persoalan utama yang perlu dijawab sekiranya pengeluaran bersasar dibenarkan ialah bagaimana simpanan yang dikeluarkan boleh dibina semula.

Justeru, katanya, PGIRM turut mencadangkan mekanisme pemulihan semula simpanan sebagai sebahagian daripada cadangan berkenaan.

“Bagi pencarum yang masih mempunyai caruman, caruman baharu boleh disalurkan terlebih dahulu kepada Akaun Persaraan sehingga jumlah yang telah dikeluarkan dipulihkan.

“Bagi pencarum yang tidak lagi mempunyai caruman, sebahagian dividen tahunan yang sepatutnya dikreditkan kepada akaun boleh, tertakluk kepada mekanisme yang dipersetujui, disalurkan terus ke Akaun Persaraan sehingga jumlah pengeluaran tersebut dipulihkan,” katanya.

Menurutnya, mekanisme itu menunjukkan cadangan pengeluaran bersasar tidak semestinya bermaksud pencarum mengambil simpanan tanpa memikirkan masa depan persaraan.

Sebaliknya, katanya, simpanan boleh dibina semula secara berperingkat menerusi mekanisme yang ditetapkan.

Katanya, PGIRM berpandangan pendekatan itu juga boleh menjawab kebimbangan yang pernah dibangkitkan mengenai kesan pengeluaran terhadap kecukupan simpanan persaraan pencarum.

Dalam pada itu, Azmi berkata, pihaknya dimaklumkan proses penilaian cadangan berkenaan akan disegerakan sebelum pembentangan Bajet dan tidak menolak kemungkinan dipanggil untuk membentangkan mekanisme pelaksanaan dengan lebih terperinci.

Azmi berkata, pihaknya bersedia menjelaskan aspek kelayakan, had pengeluaran, kawalan, kaedah pemulihan simpanan serta mekanisme bagi memastikan kemudahan itu hanya diberikan kepada pencarum yang benar-benar memerlukan.

“Kami sudah melalui tempoh hampir lima tahun. Sebanyak 5,150 pencarum telah bersuara dan Policy Paper telah diserahkan.

“Kini masanya suara itu dinilai,” katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved