Lima Tawaran Kita Selangor dilaksana dalam tempoh 100 hari - Amirudin

11 Aug 2023 • 12:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Amirudin - Foto Bernama

image is not available
Info grafik mengenai lima Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari pentadbiran sekiranya PH-BN menang PRN.

SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan di Selangor akan melaksanakan lima perkara utama dalam tempoh 100 hari pentadbiran sekiranya kekal mentadbir selepas pilihan raya negeri (PRN) ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lima perkara diikhtiarkan dalam 'Tawaran Kita Selangor' itu ialah pertama, menghargai wanita bekerja menerusi pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak.

Ujar beliau, tawaran kedua pula adalah dengan melaksanakan pengecualian cukai pintu untuk rumah kampung dan rumah kos rendah.

"Tawaran ketiga pula seramai 1,000 mahasiswa negeri Selangor akan terima baucar buku Kita Selangor bernilai RM200.

"Manakala tawaran keempat menaikkan elaun imam, bilal dan siak serta terakhir seramai 500 petani, pesawah dan nelayan akan terima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM1,000," katanya ketika berucap pada Amanat Khas Menteri Besar Selangor yang disiarkan di Facebook beliau pada Jumaat.

**media[2302269]**

Amirudin memberitahu, keyakinan melaksanakan lima tawaran bukanlah kerana angkuh, tetapi yakin dengan kebijaksanaan rakyat di negeri ini.

"Kita sedar bahawa untuk mengangkat Selangor dan rakyatnya ke suatu harakat (pergerakan) lebih gemilang, perlunya kepada suatu kerajaan yang terbukti cekal menghadapi cabaran, terbukti cekap, tangkas dan berwibawa mengemudi negeri untuk menyelesaikan permasalahan dihadapi rakyat dan menawarkan solusi kepada perkara dan cabaran bakal dihadapi," ujar beliau.

Sebelum itu, Amirudin mengumumkan Isnin depan sebagai cuti peristiwa sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang dalam PRN Sabtu ini.

Menurutnya, kerajaan negeri berbesar hati sekiranya gabungan PH-BN kekal mentadbir Selangor untuk lima penggal seterusnya.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan serta PRK Kuala Terengganu dijalankan serentak iaitu pada 12 Ogos.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved