Lima warga Malaysia bawa dadah 5kg dalam kasut ditahan di Jakarta

29 Sep 2026 • 2:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lima warga Malaysia bawa dadah 5kg dalam kasut ditahan di Jakarta

PETALING JAYA – Lima warga Malaysia ditahan selepas dipercayai membawa lima kilogram (kg) cecair dadah sintetik jenis etomidate yang disembunyikan pada bahagian dalam kasut masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia pada 25 September lalu.

Pengarah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima perkongsian maklumat daripada Dittipidnarkoba Bareskrim Polri mengenai penahanan lima warga Malaysia yang baru tiba dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan komersial.

Beliau berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki berusia 30, 24, 22 dan 21 tahun serta seorang wanita berusia 25 tahun.

“Daripada lima suspek itu, tiga berasal dari Sarawak manakala dua lagi berasal dari Pahang. Seorang daripada mereka mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah, manakala empat lagi tidak mempunyai rekod jenayah berkenaan.

“Penahanan dilakukan Bahagian Duti dan Cukai, Kastam dan Eksais Indonesia selepas petugas mengesyaki pergerakan mencurigakan oleh kelima-lima individu terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati setiap suspek membawa dua bungkusan serbuk yang disyaki etomidate dengan berat kira-kira 500 gram bagi setiap bungkusan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, barang berkenaan disembunyikan pada bahagian insole kasut, dengan keseluruhan 10 bungkusan seberat lima kilogram ditemui.

Katanya, JSJN akan terus berhubung dengan pihak Polri bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.

“Usaha ini bagi mengesan rangkaian sindiket dadah di Malaysia yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Lima warga Malaysia bawa dadah 5kg dalam kasut ditahan di Jakarta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved