
Kota Kinabalu: Pembangunan fizikal serta keperluan penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Limbahau tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan negeri sekarang, kata wakil rakyatnya, Datuk Juil Nuatim.
Malah, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kerana meluluskan pelbagai inisiatif pembangunan yang mentransformasi kawasan itu.
“Keperluan rakyat di sini terus ditambah baik, jalan dinaik taraf, kemudahan asas diperkukuh dan masalah serta kesulitan rakyat ditangani.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Ini bukan cerita retorik, tapi kisah nyata. Ini bukan fantasi, tapi manifestasi sebenar kerajaan yang prihatin, bergerak seiring gagasan besar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya apabila membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, baru-baru ini.
Juil berkata, antara projek utama termasuk menaik taraf jalan Manggis-Kaiduan-Tampasak sepanjang 20 kilometer, sebelum ini jalan kerikil dan kini siap 95 peratus.
“Jalan ini adalah talian hayat bagi ribuan penduduk, memudahkan perjalanan dan pengangkutan hasil tani dari kampung seperti Kaiduan, Bisuang, Mondikot, Bolotikon, Kogopon, Kundasang Tampasak dan Moliouon,” katanya.
Beliau turut menyebut projek menaik taraf jalan Vasai-Mikik-Simpudu, yang sudah lama terbiar selama lebih 40 tahun tetapi kini giat dibangunkan di bawah projek Kenari.
Ia bakal memanfaatkan 800 penduduk. Mengenai liputan internet luar bandar, beliau berkata empat menara telekomunikasi baharu dibina hasil kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dari segi pendidikan, Juil berkata kerajaan negeri menyiapkan Sekolah Menengah St Joseph, sebuah sekolah mubaligh, yang sebelum ini tertangguh akibat kekangan kewangan.
“Hasil keprihatinan Ketua Menteri, sekolah ini kini siap sepenuhnya dan digunakan oleh pelajar serta guru,” katanya.
Menyentuh isu bekalan air, beliau memaklumkan kerja-kerja menaik taraf loji rawatan air di Kg Manggis, daripada 40 juta liter sehari (MLD) kepada 80MLD, sedang dijalankan dan dijangka dapat menyelesaikan isu air di kawasan Papar dan sekitarnya apabila siap tahun depan. Selain itu, muka sauk kedua di loji Limbahau mula dibina susulan lawatan tapak oleh Ketua Menteri tahun lepas,” katanya.
Juil berkata sebuah dewan serbaguna baharu disiapkan di Kg Marahang, khusus untuk kegunaan rakyat Limbahau dan dirasmikan oleh Ketua Menteri pada Mei.
“Projek-projek ini menunjukkan Limbahau tidak dipinggirkan atau dilupakan. Pembangunan di sini menepis semua tuduhan dan tohmahan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik,” katanya.
“Saya anggap tuduhan liar itu sebagai asahan semangat, bukan racun perjuangan. Selagi diberi mandat, saya akan terus bekerja. Rakyat adalah keutamaan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan rakyat Limbahau sebagai penyuluh semangat dan tulang belakang perjuangannya sebagai wakil rakyat.
Juil turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji atas kepimpinan yang dekat dengan rakyat, serta menyeru rakyat Sabah mengekalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan dan kemajuan negeri.
“Di bawah Hajiji, Sabah melangkah ke fasa pembangunan yang lebih tersusun dan menyeluruh seperti yang digariskan dalam kerangka Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Juil menggesa semua rakyat Sabah, tanpa mengira kaum dan agama, untuk terus bersatu dan mengekalkan kerajaan sekarang demi kesinambungan, kestabilan dan masa depan lebih cerah untuk negeri ini.


