Lindungi khazanah semula jadi negara daripada eksploitasi

Environment
24 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lindungi khazanah semula jadi negara daripada eksploitasi

AKSES dan Perkongsian Faedah (ABS) yang digariskan dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) sejak Sidang Kemuncak Bumi di Rio 1992 merupakan mekanisme penting bagi memastikan sumber asli dan pengetahuan tradisional dimanfaatkan secara adil dan saksama.

Malaysia sebagai negara mega biodiversiti memiliki khazanah sumber asli yang luas, termasuk tumbuhan ubatan tradisional yang digunakan oleh komuniti Orang Asli.

Namun, pelaksanaan ABS di Malaysia masih belum jelas dan bersepadu, sedangkan cabaran seperti penyakit baharu, keperluan antibiotik, penyelidikan farmaseutikal, serta penyeludupan produk semula jadi semakin mendesak.

Di Malaysia, konsep ABS digubal secara sah melalui Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795).

Akta ini bertujuan melindungi hak negara dan komuniti pribumi daripada eksploitasi sumber biologi tanpa kawalan.

Komuniti Orang Asli, khususnya di kawasan seperti Endau Rompin, Krau, Belum-Temengor, dan Tasek Bera, memiliki pengetahuan mendalam tentang tumbuhan ubatan dan ekosistem hutan.

Pengetahuan ini bukan sahaja penting untuk rawatan tradisional, tetapi juga berpotensi menjadi asas kepada penemuan farmaseutikal moden.

Oleh itu, dokumentasi pengetahuan tradisional perlu dilakukan segera dengan penglibatan Batin-batin dan komuniti Orang Asli sendiri, termasuk melalui platform digital agar ia tidak hilang ditelan zaman.

ABS memberi peluang kepada Orang Asli untuk mendapat manfaat ekonomi dan sosial daripada sumber asli yang mereka pelihara.

Namun, undang-undang berkaitan pengumpulan tumbuhan ubatan oleh Orang Asli perlu dipantau dengan teliti.

Permintaan pasaran yang tinggi menimbulkan persoalan seperti berapa banyak yang diperlukan, siapa yang mengawal dan bagaimana hasilnya dikongsi.

Pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) adalah teras kepada pemahaman masyarakat tentang kepentingan ABS. Program CEPA harus menekankan pemeliharaan kepelbagaian biologi, hak komuniti pribumi, serta risiko eksploitasi tanpa kawalan.

Kapasiti komuniti Orang Asli perlu dibangunkan melalui latihan, penyelidikan bersama universiti serta kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpengalaman seperti Tabung Alam Sedunia (WWF) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Institusi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sudah lama terlibat dalam kajian berkaitan sumber semula jadi, perubatan tradisional dan Orang Asli.

Kajian ini patut dikembangkan dengan lebih agresif, terutama dalam menghadapi wabak baharu.

Kerajaan pula perlu melihat penyelidikan sumber semula jadi dan amalan tradisional perubatan sebagai perkara penting dengan peruntukan kewangan yang jelas.

Kapasiti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi juga membuka peluang pekerjaan baharu, misalnya dalam ekopelancongan, penghasilan produk herba, atau pengkomersialan kraftangan berasaskan sumber semula jadi.

Dengan sokongan teknikal dan pendidikan, komuniti Orang Asli boleh menjadi rakan kongsi aktif dalam pemuliharaan dan pembangunan lestari.

Malaysia memerlukan undang-undang ABS yang mantap, dengan penguatkuasaan jelas oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), jabatan negeri, dan agensi berkaitan.

Penyelidikan mesti diaudit dan diselaraskan agar tidak berlaku pertindihan atau eksploitasi.

Perkongsian faedah perlu melibatkan sektor komersial dan bukan komersial secara telus. Undang-undang, peraturan dan kawalan mesti menjaga hak negara dan Orang Asli dari segi hak cipta, harta intelek dan hak semula jadi.

Kerjasama antara NGO, agensi kerajaan dan sektor swasta harus diiktiraf dan diperkukuh.

Seminar kebangsaan boleh dianjurkan untuk mengumpul semua hasil kerja terdahulu berkaitan masyarakat pribumi, lalu membentuk pendekatan bersepadu.

Rancangan Lima Tahun Kerajaan boleh difokuskan kepada mendokumentasi pengetahuan tradisional Orang Asli secara sistematik dan digital, pendidikan CEPA di sekolah dan komuniti, latihan kapasiti komuniti dalam bidang penyelidikan, ekopelancongan dan penghasilan produk semula jadi, serta undang-undang ABS yang jelas dengan mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan.

Produk semula jadi daripada hutan Malaysia mempunyai nilai perubatan dan komersial yang tinggi sehingga menarik minat pasaran antarabangsa dan dipatenkan di luar negara.

Contoh utama ialah Tongkat Ali (Eurycoma longifolia), di mana teknologi ekstrak larut airnya telah dibangunkan melalui kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dan dipatenkan di Amerika Syarikat bagi produk suplemen kesihatan.

Seterusnya, Kacip Fatimah (Labisia pumila) turut dipatenkan di Amerika Syarikat dan Eropah atas keupayaannya sebagai bahan aktif kosmetik anti-penuaan serta penjagaan kulit wanita.

Selain itu, minyak daripada pokok Bintangor (Calophylluminophyllum) dipatenkan secara global dalam industri kosmetik mewah kerana keberkesanannya merawat struktur kulit dan melindungi daripada sinaran UV.

Akhir sekali, teknologi pengekstrakan resin Gaharu (Aquilaria spp.) dilindungi di peringkat antarabangsa melalui Perjanjian Kerjasama Paten untuk pasaran minyak wangi kosmetik premium di Timur Tengah dan Asia Timur.

Perlindungan paten luar negara ini membuktikan pengiktirafan global terhadap kepelbagaian biologi Malaysia, sekali gus menekankan kepentingan Akta 795 dalam melindungi hak khazanah semula jadi negara daripada eksploitasi.

ABS bukan sekadar isu teknikal, tetapi soal keadilan sosial dan kelestarian alam.

Orang Asli sebagai penjaga hutan dan sumber asli mesti diberikan hak dan manfaat yang adil.

Malaysia perlu bergerak dari retorik kepada tindakan konkrit melalui undang-undang, pendidikan, penyelidikan dan kerjasama yang menyeluruh agar kepelbagaian biologi negara terus menjadi sumber kehidupan dan inovasi, sambil memastikan kesejahteraan komuniti pribumi yang telah lama menjaga khazanah ini. – UTUSAN

DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM).

The post Lindungi khazanah semula jadi negara daripada eksploitasi appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved