Literasi kewangan: Lindungi rakyat, perkukuh ekonomi negara

LocalBusiness & Finance
9 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Literasi kewangan: Lindungi rakyat, perkukuh ekonomi negara

KEMUDAHAN teknologi digital telah membuka akses yang lebih luas kepada masyarakat untuk mengurus kewangan dan melabur. Kini, hanya melalui telefon pintar, seseorang boleh membuka akaun dagangan, membeli saham atau melabur dalam pelbagai instrumen pasaran modal.

Namun, di sebalik kemudahan tersebut, risiko penipuan kewangan turut berkembang dengan semakin kompleks, sekali gus menjadikan literasi kewangan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

Realiti ini jelas tergambar melalui statistik semasa. Laporan Ipsos Digital 2025 melaporkan rakyat Malaysia kini menghabiskan purata lapan jam sehari melayari internet, menjadikan negara ini antara pengguna paling aktif di rantau ASEAN. 

Manakala, negara yang mempunyai kadar penetrasi internet yang lebih tinggi lazimnya turut mencatat tahap keterangkuman kewangan yang lebih baik.

Pada tahun 2025, sebanyak 66,204 kes penipuan dalam talian direkodkan di Malaysia dengan jumlah kerugian hampir RM2.97 bilion, meningkat dengan ketara berbanding tahun sebelumnya. Lebih membimbangkan, penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian terbesar, melebihi RM1.4 bilion.

Angka ini menunjukkan bahawa penipuan pelaburan bukan lagi isu terpencil, sebaliknya telah menjadi ancaman serius kepada kesejahteraan kewangan rakyat dan turut memberi implikasi kepada keyakinan terhadap sistem kewangan negara.

Mangsa penipuan pula bukan lagi hanya terdiri daripada mereka yang kurang berpengetahuan. Golongan profesional, pesara, usahawan, penjawat awam malah graduan muda turut menjadi sasaran sindiket.

Dengan kemajuan teknologi, penjenayah kini menggunakan media sosial, aplikasi pesanan segera, laman sesawang palsu, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi deepfake bagi menghasilkan kandungan yang kelihatan sahih dan meyakinkan. Tawaran pulangan luar biasa dalam tempoh singkat, testimoni palsu serta penyamaran identiti tokoh korporat atau institusi kewangan digunakan untuk mempengaruhi emosi dan keyakinan bakal mangsa.

Pada masa yang sama, penyebaran maklumat palsu (fake news), khabar angin dan kandungan yang mengelirukan di media sosial turut mempengaruhi tingkah laku pelabur. Fenomena Fear of Missing Out (FOMO) boleh menyebabkan seseorang bertindak terburu-buru kerana bimbang terlepas peluang keuntungan yang dilihat sedang dinikmati oleh orang lain.

Mentaliti You Only Live Once (YOLO) pula boleh mendorong sesetengah individu mengambil risiko pelaburan yang lebih tinggi tanpa mempertimbangkan sepenuhnya risiko yang terlibat. Keadaan ini boleh menyumbang kepada herding behaviour, iaitu kecenderungan membuat keputusan berdasarkan tindakan majoriti tanpa menilai secara kritikal kesahihan dan risiko sesuatu pelaburan. Dalam keadaan sedemikian, keputusan yang dipengaruhi emosi dan sentimen berbanding penilaian yang rasional berpotensi membawa kepada kerugian kewangan.

Dalam keadaan sedemikian, benteng pertahanan yang paling berkesan bukanlah penguatkuasaan semata-mata, tetapi literasi kewangan dan pelaburan. Individu yang memahami konsep asas seperti hubungan antara risiko dan pulangan, kepelbagaian portfolio, pengurusan kewangan serta cara menyemak kesahihan sesuatu tawaran pelaburan akan lebih berupaya membuat keputusan secara rasional. Mereka juga lebih cenderung menilai sesuatu maklumat berdasarkan fakta dan bukannya dipengaruhi oleh sensasi atau janji keuntungan luar biasa.

Menyedari hakikat tersebut, pelbagai agensi telah memperkukuh usaha melindungi masyarakat daripada ancaman penipuan kewangan.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terus memperluaskan pendidikan pelabur melalui pelbagai program kesedaran serta menggalakkan orang ramai menyemak status syarikat dan individu melalui Public Register dan Investor Alert List sebelum membuat sebarang pelaburan. Langkah mudah ini mampu mengelakkan masyarakat daripada terjebak dengan skim pelaburan yang tidak berlesen atau tidak dikawal selia.

Dalam masa yang sama, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan pantas melibatkan kes penipuan kewangan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, institusi kewangan dan agensi berkaitan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan siber dan kesedaran digital bagi membantu masyarakat mengenal pasti taktik penipuan yang semakin kompleks.

Walaupun pelbagai langkah penguatkuasaan telah dilaksanakan, hakikatnya perlindungan yang paling berkesan tetap bermula daripada masyarakat yang mempunyai pengetahuan dan mampu berfikir secara kritis sebelum membuat sebarang keputusan kewangan.

Justeru, literasi kewangan tidak lagi boleh dianggap sebagai pengetahuan tambahan atau hanya relevan kepada mereka yang aktif melabur.

Sebaliknya, ia telah menjadi satu kemahiran asas yang perlu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat. Individu yang celik kewangan bukan sahaja lebih berupaya melindungi diri daripada penipuan, malah mampu merancang kewangan dengan lebih sistematik, mengurus risiko secara lebih berkesan dan memanfaatkan peluang pelaburan yang sah untuk meningkatkan kesejahteraan diri dan keluarga.

Usaha memperkukuh literasi kewangan memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan berterusan. Selain peranan pengawal selia, institusi pendidikan dan industri turut memainkan tanggungjawab penting dalam membentuk masyarakat yang mampu membuat keputusan kewangan secara berinformasi.

Bursa Malaysia, misalnya, terus memperluaskan agenda pendidikan pelabur melalui platform MyBURSA, yang menyediakan pelbagai program pembelajaran, webinar, simulasi pelaburan serta bahan pendidikan kepada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, pelabur baharu dan masyarakat umum.

Pendekatan ini memberi peluang kepada rakyat untuk memahami fungsi pasaran modal, mengenali instrumen pelaburan yang sah serta membina keyakinan sebelum mula melabur.

Selari dengan aspirasi tersebut, institusi pengajian tinggi juga perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam melahirkan generasi yang celik kewangan. Antara inisiatif yang sedang dibangunkan ialah Modul Young Investor Bootcamp oleh Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan sokongan Bursa Malaysia.

Modul ini dirangka bagi memperkukuh pengetahuan pelajar mengenai pengurusan kewangan, asas pelaburan, pengurusan risiko, pasaran modal dan etika pelaburan.

Pendedahan seperti ini bukan bertujuan menggalakkan masyarakat melabur secara tergesa-gesa, sebaliknya membentuk pelabur yang berilmu, berdisiplin dan memahami tanggungjawab mereka dalam membuat keputusan kewangan.

Malah, literasi kewangan tidak seharusnya terhad kepada pelajar sahaja. Dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah, pembelajaran sepanjang hayat amat penting kepada golongan profesional, usahawan, penjawat awam, pesara dan masyarakat umum.

Perubahan dasar ekonomi, kadar faedah, inflasi, perkembangan teknologi serta kemunculan produk kewangan baharu menuntut setiap individu sentiasa mengemas kini pengetahuan agar keputusan kewangan yang dibuat kekal relevan dengan keadaan semasa.

Landskap industri kewangan juga sedang mengalami transformasi yang pesat. Hari ini, sektor kewangan bukan sahaja bergantung kepada pengetahuan ekonomi dan kewangan tradisional, malah semakin dipacu oleh penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data raya (big data), pembelajaran mesin (machine learning) dan kewangan kuantitatif (quantitative finance).

Bidang ini menggabungkan matematik, statistik, ekonomi, sains data dan pengaturcaraan bagi membangunkan model analisis yang membantu memahami tingkah laku pasaran, mengurus risiko serta menyokong proses membuat keputusan pelaburan. 

Walau bagaimanapun, secanggih mana sekali pun teknologi yang digunakan, asas literasi kewangan tetap menjadi faktor yang paling penting. AI mampu memproses jutaan data dalam masa yang singkat, tetapi ia tidak dapat menggantikan pertimbangan manusia dalam menilai objektif kewangan, toleransi risiko dan pertimbangan etika. Teknologi seharusnya menjadi alat yang membantu membuat keputusan, bukannya menggantikan ilmu dan kebijaksanaan.

Literasi kewangan juga memberi manfaat yang jauh lebih besar daripada sekadar membantu seseorang mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Individu yang mempunyai pengetahuan kewangan yang baik lazimnya lebih berdisiplin dalam mengurus perbelanjaan, meningkatkan simpanan dan memanfaatkan instrumen pelaburan yang sah untuk membina aset jangka panjang.

Hasilnya, mereka berpeluang menjana pendapatan pasif melalui dividen, keuntungan modal atau instrumen pelaburan lain yang sesuai dengan profil risiko masing-masing.

Dari perspektif ekonomi, manfaat literasi kewangan turut menghasilkan kesan limpahan yang signifikan kepada negara. Apabila lebih ramai rakyat membuat simpanan dan melabur secara berhemah, kadar pembentukan modal domestik akan meningkat.

Dana yang dihimpunkan melalui pasaran modal dapat disalurkan kepada syarikat untuk membiayai pengembangan perniagaan, meningkatkan produktiviti, mempercepat inovasi serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Pada masa yang sama, transformasi sektor kewangan turut membuka peluang kepada pelbagai profesion berkemahiran tinggi. Oleh itu, usaha memperkukuh literasi kewangan memerlukan kerjasama kerajaan, institusi pendidikan, pengawal selia, industri kewangan, media dan masyarakat.

Masyarakat yang celik kewangan lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi, lebih berupaya membina kekayaan secara mampan dan menyumbang kepada kemakmuran Malaysia untuk generasi akan datang.

PROFESOR Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan ialah pensyarah dari Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia.

MAZLIANA Mohamad ialah Pengarah, Impak Sosial dan Pemerkasaan Pelaburan dan Pemangku Pengarah, Kelestarian Kumpulan, Bursa Malaysia.

The post Literasi kewangan: Lindungi rakyat, perkukuh ekonomi negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved