[LIVE] Himpunan Selamatkan Syariah: Gesa orang ramai hadir, Hadi sendiri tak muncul

20 Nov 2023 • 8:51 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

PUTRAJAYA – Himpunan Selamatkan Syariah yang dijadualkan berlangsung di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya jam 9 pagi ini, mula dihadiri kira-kira 500 peserta pada kira-kira 8.35 pagi.

Acara itu diadakan bagi menyatakan ketegasan dalam mempertahankan undang-undang syariah sedia ada daripada dicabar pihak tertentu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Idris Ahmad, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dan Tan Sri Annuar Musa antara pemimpin yang sudah kelihatan di himpunan berkenaan pada 8.45 pagi.

Lebih 500 peserta yang sudah berada di acara itu kelihatan menunaikan solat hajat beramai-ramai.

Selepas peserta selesai menunaikan solat hajat dan melaungkan takbir bagi mempertahankan syariah, mereka bersedia mendengar ucapan beberapa pemimpin PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang dijangka sebentar lagi.

image is not available
Peserta menunaikan solat hajat beramai-ramai di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya. – Azim Rahman/Gambar Scoop, 20 November, 2023

Biarpun bahang matahari mula terasa, kira-kira 1,000 peserta tidak berganjak mendengar ucapan pemimpin PAS dan PN di atas lori yang dijadikan pentas.

Ketika berucap pada himpunan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berharap Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Manakala, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggesa umat Islam bangkit suarakan dan pertahan undang-undang syariah di Malaysia, selain mahu ia menjadi undang-undang utama di negara ini.

image is not available
Beberapa pemimpin PAS dan PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri); Datuk Seri Hamzah Zainuddin (tengah) serta Datuk Mohd Radzi Jidin hadir ke Himpunan Selamatkan Syariah di Dataran Putrajaya, Putrajaya, hari ini. - 20 November, 2023

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, Himpunan Selamatkan Syariah bukan himpunan pertama kerana jika wujud ancaman kepada perundangan Islam, umat Islam akan kekal pertahankan

“Munajat mendoakankan keselamatan dan kesejahteraan negara supaya jangan ada pihak yang ganggu gugat Malaysia.

“Apa yang berlaku hari ini usaha golongan liberal untuk menggugat kestabilan dan perundangan Islam.

“Munajat kita kepada pihak peguam dan hakim supaya mereka membuat keputusan betul dan Islam akan terus dimartabatkan dalam negara,” katanya.

Selepas hampir dua jam berlangsung, Himpunan Selamatkan Syariah berakhir pada 10.55 pagi dengan doa penutup memohon supaya undang-undang syariah, terus dipertahankan umat Islam daripada pihak yang cuba memusuhinya, sebelum diakhiri dengan laungan takbir ‘Allahuakbar’. – 20 November, 2023