LKAN 2022: PAC mulakan prosiding panggil MOF isu LADA

22 Nov 2023 • 5:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding terhadap isu-isu dan teguran yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit negara (LKAN) 2022 dengan memanggil Kementerian Kewangan bagi memberi penjelasan berhubung pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin (gambar) berkata PAC akan memanggil Kementerian Kewangan pada Khamis depan (30 Nov).

“PAC akan memaklumkan dari semasa ke semasa bagi tajuk-tajuk lain yang ditegur dalam LKAN itu untuk prosiding dan telah menyusun jadual prosiding sehingga hujung tahun ini bagi isu yang dibangkitkan dalam LKAN 2022,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Menurut LKAN yang dikeluarkan hari ini, LADA didapati masih belum mencapai prestasi memuaskan kerana sebilangan projek pembangunan dan pelaburan swasta tidak dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan dan pulangan hasil oleh lembaga itu juga tidak mencapai sasaran keberhasilan.

LADA juga didapati lemah dalam pengurusan pajakan tanah yang menyebabkan kegagalan kutipan hasil dan mendedahkan kepada risiko kehilangan tanah.

LADA ditubuhkan pada 15 Mac 1990 sebagai sebuah badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Langkawi 1990 (Akta 423), merupakan agensi di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangun dan memajukan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama bertaraf dunia.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata prosiding akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan 3P iaitu yang mempunyai unsur penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran serta 1K iaitu berkaitan kecuaian.

Hari ini Jabatan Ketua Audit Negara (JAN) mengeluarkan tiga naskah laporan iaitu LKAN 2022 bagi Aktiviti Kementerian/Jabatan kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Perekutuan, LKAN 2022 bagi Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, dan LKAN 2022 mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar.

Mas Ermieyati berkata pengauditan Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan, membabitkan sebanyak 14 kementerian dengan 16 laporan dilaporkan serta 55 syor audit dikemukakan dengan jumlah keseluruhan pengauditan berjumlah RM208.882 bilion.

“Bagi LKAN Tahun 2022 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, ia membabitkan enam syarikat daripada tiga kementerian,” katanya. -Bernama