LLPM diberi kebenaran sementara sebagai operator Terminal Pelabuhan: SaksI

13 Feb 2023 • 6:32 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) diberi kebenaran sementara sebagai pengendali operator Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) Zulkurnain Ayub berkata perkara itu diputuskan semasa mesyuarat LPL di Hotel Hilton yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Wee Jeck Seng pada 4 Jan 2018.

“Keputusan itu dibuat selepas Datuk Rozman Isli mencadangkan supaya pelantikan LP Multi Terminal Sdn Bhd sebagai pengendali baharu ditangguhkan berikutan implikasi politik memandangkan ketika itu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

“Mesyuarat telah bersetuju menangguhkan pelantikan pengendali pelabuhan (baharu) dan memberi kebenaran sementara kepada LLPM untuk mengendalikan operasi pelabuhan tersebut,” katanya sambil menambah Rozman tidak pernah mengisytiharkan bapa dan adik lelakinya adalah pemegang saham LLPM.

Beliau berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Labuan itu yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Zulkurnain, yang juga bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu, berkata beliau dan seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah LPL turut menyokong cadangan Rozman.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata LLPM diberi kebenaran sementara tetapi tidak diberi harapan untuk dilantik sebagai pengendali operasi pelabuhan tersebut dan kedua-dua syarikat (LPL dan LLPM) akan mengadakan satu perjanjian sewaan bulanan agar LLPM dapat mengutip kadar sewa bagi kawasan operasinya.

“Mesyuarat telah bersetuju LLPM dikenakan bayaran sewa bulanan sebanyak RM64,800 ke atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang dijadikan terminal pelabuhan tersebut kerana LPL merupakan penyewa baharu tanah itu,“ katanya.

Beliau berkata selain implikasi politik, penangguhan pelantikan operator pengendali (baharu) pelabuhan itu dibuat kerana kadar tarif belum dimuktamad oleh pihak pengurusan.

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Rozman, bahawa keputusan menangguhkan pelantikan pengendali pelabuhan dibuat bersama oleh Ahli Lembaga LPL dalam mesyuarat dan bukan secara individu.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi, Zulkurnain berkata Rozman ada membangkitkan isu implikasi politik dalam mesyuarat itu dan Datuk Chua Kok Ching serta Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, yang ketika itu Ahli Lembaga Pengarah LPL, setuju dengan pandangan tertuduh.

Rozman, 59, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok. -Bernama