LNG Terima Ancaman, MKN Arah Tingkat Kawalan Keselamatan Semua Fasiliti

LocalPolitics
9 Sep 2025 • 4:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG negara dipertingkat susulan mesej ancaman yang diterima - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan kawalan keselamatan di semua fasiliti gas asli cecair (LNG) negara diperketat, susulan mesej ancaman yang diterima.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, seorang kakitangan di ibu pejabat Petronas menerima mesej ancaman tersebut selepas gagal membalas mesej terdahulu daripada penghantar yang sama.

“Mesej itu datang daripada nombor Indonesia. Tetapi siapa yang hantar? Itu masih dalam siasatan pihak polis,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak ASEAN Women, Peace and Security 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, MKN telah mengeluarkan arahan untuk meningkatkan pemantauan dan keselamatan di semua fasiliti LNG, khususnya di Bintulu, Sarawak.

“Kita tidak pasti sama ada ancaman itu ditujukan khusus kepada LNG di Bintulu atau di Sabah. Mesej hanya menyebut ‘LNG’ secara umum,” jelasnya.

image is not available
Fadillah Yusof - Gambar fail

Jelas Fadillah, mesej ancaman berkenaan dihantar selepas individu tidak dikenali itu tidak menerima maklum balas daripada mesej awal mereka.

“Mereka bertanya soalan dan apabila tidak dibalas, mereka mengeluarkan ancaman untuk membakar LNG kita. Tetapi kita tidak tahu fasiliti mana yang dimaksudkan,” ujarnya.

Tegas beliau, kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan tenaga negara.

Dalam satu kenyataan semalam, MKN mengesahkan telah menerima laporan ancaman keselamatan terhadap beberapa kemudahan LNG negara, dan mengarahkan semua fasiliti berkaitan khususnya di Bintulu, memperketat langkah perlindungan.

Malaysia merupakan antara pengeksport LNG terbesar dunia, dan sebarang gangguan terhadap fasilitinya boleh memberi kesan besar terhadap keselamatan tenaga domestik serta rantaian bekalan global.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan, ancaman terhadap fasiliti LNG di Bintulu tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait langsung dengan keselamatan negara dan kestabilan ekonomi.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyokong semua langkah pencegahan yang diambil pihak berkuasa Persekutuan dan berharap ia mampu menangkis atau menutup sebarang risiko sebenar.

“Saya tidak pasti sifat ancaman tersebut. Seperti orang lain, saya hanya mengetahui melalui laporan media.

“Apa yang penting sekarang ialah langkah segera diambil untuk melindungi aset kita sekiranya ancaman itu benar-benar wujud,” tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC).

Douglas turut menggesa pihak berkuasa memberikan maklumat yang jelas dan tepat pada masanya bagi mengelakkan kebimbangan tidak wajar.

“Kejadian tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa. Jadi saya juga memerlukan penjelasan lanjut daripada agensi bertanggungjawab. 

“Orang ramai berhak mendapat maklumat yang tepat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kejuruteraan Awam Euro Asia di Kuching, hari ini.

Kompleks LNG di Bintulu merupakan antara aset tenaga strategik negara dan penyumbang utama kepada eksport nasional, menjadikannya fasiliti kritikal yang memerlukan perlindungan berterusan.

Semalam, MKN mengumumkan telah mengarahkan pelaksanaan protokol keselamatan yang lebih ketat di semua tapak LNG di Bintulu, susulan laporan ancaman yang melibatkan nombor telefon berdaftar di luar negara itu. 

Pihak berkuasa masih belum mengesahkan kesahihan ancaman tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - Getaran, 9 September 2025