
September lalu Logitech Pro X2 Superstrike diumumkan dengan ia adalah tetikus pertama yang menggantikan suis fizikal dengan sistem haptik. Pihak Logitech Malaysia kini mengesahkan tetikus gaming ini akan dilancarkan di Malaysia pada 13 Mac depan.

Sistem haptik analog Haptic Inductive Trigger System (HITS) memberikan pergerakan 0.6mm apabila ditekan. HITS menawarkan masa mengesan klik 30 milisaat lebih pantas dengan 10 tetapan lokasi tekanan yang boleh diperibadikan menerusi perisian G Hub pada komputer.
Terdapat juga sokongan sistem rapid trigger yang membolehkan klik dilakukan lebih pantas tanpa jari diangkat dengan tinggi. Sensor Hero 2 di bahagian bawah pula mempunyai kadar polling sehingga 8000 Hz, tahap pengesanan 100 – 44,000 DPI dan pecutan sehingga 88G yang memberikan kejituan pergerakan pantas. Pro X2 Superstike boleh digunakan secara nirwayar sehingga 90 jam menerusi dongal Lightspeed USB-A atau berwayar menggunakan kabel USB-A ke USB-C.
Di Malaysia Pro X2 Superstike dijual pada harga RM 779 sebuah. Logitech Malaysia akan menganjurkan acara pelancaran, Cabaran ‘How Fast Can You Click?’ di lokasi kedai yang mengambil bahagian dari 13 Mac 2026 hingga 15 Mac 2026. Peserta dengan klik tertinggi di Malaysia akan memenangi PRO X2 Superstrike.
Terdapat juga tawaran PWP masa terhad yang berlangsung semasa acara ini ialah dengan setiap pembelian Logitech PRO X2 Supertrike, papan kekunci PRO X 60 Wireless Keyboard boleh dibeli dengan potongan harga 51% (RM399.00).
