Malaysia dilihat sedang mengalihkan janaan tenaga elektrik menggunakan arang batu dan cecair gas kepada sumber-sumber yang lebih lestari seperti hidro dan juga solar. Hari ini, ES Sunlogy Berhad penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik tempatan telah menyempurnakan pembukaan ladang solar fotovoltaik dengan kapasiti output setinggi 29.9MWac di Kulim, Kedah.
Ladang solar fotovoltaik ini dinamakan Selarong Pertama Energy dan dibangunkan oleh usaha-sama Selarong Pertama Energy Sdn Bhd yang merupakan gabungan antara Savelite Engineering Sdn Bhd, anak syarikat kepada ES Sunlogy Berhad, Blazing Solar Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Solarvest Holdings Berhad dan TNB Renewables Sdn. Bhd., anak syarikat Tenaga Nasional. Ia juga dibina di bawah Program Kuasa Hijau Korporat Malaysia (“CGPP”).

Tenaga elektrik yang dijana oleh ladang solar ini akan dibekalkan secara maya kepada Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. di Pulau Pinang di bawah Perjanjian Kuasa Hijau Korporat jangka panjang (“CGPA”), dan digabungkan dengan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (“REC”) selama tempoh 21 tahun.
Pembukaan ladang solar baru ini juga membolehkan Micron kekal menghasilkan dan mempakej komponen-komponen memori mereka dengan bergantung 100 peratus terhadap penggunaan tenaga lestari yang sudahpun mereka gunakan setakat ini. Micron juga mempunyai kelengkapan janaan tenaga lestari mereka sendiri melalui kelengkapan solar di kilang Batu Kawan mereka di Pulau Pinang.

