Loke: Kerajaan, MAHB meterai perjanjian operasi baharu kendali lapangan terbang Malaysia sehingga 2069

18 Mar 2024 • 4:38 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEPANG: Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini memeterai perjanjian operasi baharu selama 45 tahun sehingga 11 Feb, 2069, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Menerusi perjanjian tersebut, pengendali lapangan terbang itu akan meneruskan peranannya mengendali, mengurus, menyenggara dan membangunkan 39 lapangan terbang dan lapangan terbangan landasan pendek (STOLPorts) di seluruh negara.

“Hari ini merupakan hari bersejarah susulan pemeteraian lanjutan perjanjian operasi ini antara kerajaan dan MAHB dan ia akan memberi MAHB masa dan ruang yang mencukupi untuk membuat pelaburan dan keputusan yang lebih strategik bagi menaik taraf lapangan terbang kita.

“Beberapa perkara penting dalam operasi baharu itu ialah kita memberi kelonggaran kepada MAHB untuk melabur dari segi pembinaan kapasiti dan menaik taraf lapangan terbang, berdasarkan model pemulihan pelaburan,“ katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian itu, di sini, hari ini.

Loke berkata antara halangan dan cabaran terbesar yang dihadapi MAHB dari segi menaik taraf lapangan terbang ialah kekurangan peruntukan pembangunan daripada kerajaan kerana setiap tahun syarikat itu melalui Kementerian Pengangkutan perlu membida peruntukan daripada Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kewangan dan bukan setiap tahun ia mendapat kelulusan.

Selain itu, katanya, terdapat banyak lapangan terbang lebih kecil yang perlu dinaik taraf secara berkala, contohnya lapangan terbang di Sabah dan Sarawak, yang mempunyai potensi besar tetapi ketika ini kurang kapasiti.

“Jadi kita perlu menaik tarafnya secepat mungkin supaya kita boleh memanfaatkan potensi pelancongan,” katanya.

Selain daripada perjanjian operasi, kerajaan dan MAHB turut menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah susulan daripada kelulusan kabinet pada dasarnya pada 2 Februari 2023.

Daripada 39 lapangan terbang di Malaysia, lima merupakan lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 STOLPorts.

“Kita juga akan menubuhkan Dana Pembangunan Lapangan Terbang yang merupakan sebahagian daripada perjanjian operasi itu yang mana mekanisme tersebut akan diusahakan oleh Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kewangan dan ia tertakluk untuk lapangan terbang baharu dan kerja menaik taraf,” kata Loke.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, pemangku ketua pegawai eksekutif kumpulan MAHB Mohamed Rastam Shahrom berkata perjanjian operasi baharu tersebut mencerminkan keyakinan terhadap rangka kerja rangkaian lapangan terbang dan model subsidi silang syarikat yang terbukti berkesan selama ini.

“Malaysia Airports terus komited untuk memastikan standard operasi dan perkhidmatan lapangan terbang yang paling tinggi, dan terus menyediakan ketersambungan penting di seluruh Malaysia, merangkumi kedua-dua hab bandar dan komuniti luar bandar.

“Selain itu, terma baharu tersebut memberikan fleksibiliti kepada kumpulan untuk melabur secara strategik dalam pembangunan dan pemodenan lapangan terbang mengikut keperluan, meringankan sebarang beban kewangan kepada Kerajaan Malaysia. Ini dipermudahkan menerusi mekanisme pulangan modal yang dinyatakan dalam perjanjian itu,” katanya.

Pada 2.27 petang, saham MAHB susut 1.38 peratus kepada RM9.27 dengan 1. -Bernama