
KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peningkatan mendadak pengundi baharu di Sabah berjumlah 574,120 dalam tempoh empat tahun tidak boleh dipandang ringan.
Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata pengundi baharu ini kebanyakannya didaftarkan sebagai “Melayu” tetapi mungkin bukan dari negeri ini atau semenanjung.
Katanya, perkara itu perlu dijelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
“Ini tidak boleh dipandang mudah. Orang lain nanti datang ke kawasan kita. Kita tidak mahu orang dapat kuasa dari peti undi dengan cara ini, sebab itu kita buat laporan dengan pihak berkenaan,” tegasnya.
Hajiji berkata perkara itu telah dibincangkan dalam Kabinet Negeri Rabu lalu (19 Oktober) dan sedang menunggu penjelasan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Selasa (25 Oktober).
“Lonjakan jumlah pengundi baharu yang terkandung dalam daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR di semua kawasan Parlimen di Sabah adalah meragukan.
“Ada sesuatu yang meragukan kita dan kita bincang di peringkat Kabinet. Kita minta penjelasan daripada pengarah SPR dan JPN,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS Tenom sempena Program Jelajah GRS di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, pada 22 Oktober.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penyelaras GRS Tenom merangkap Adun Kemabong Datuk Rubin Balang.
Berdasarkan daftar pemilih terkini yang dikeluarkan SPR, Sabah kini mempunyai 1.68 juta pengundi berbanding 1.1 juta pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 53.9 peratus.
Daftar pemilih yang diwartakan Julai lalu menunjukkan Parlimen Sepanggar mencatatkan jumlah pengundi tertinggi iaitu 107,463 diikuti Lahad Datu (99,741) dan Tawau (87,189).
Sementara itu, Hajiji mengumumkan Kerajaan Negeri akan melepaskan beberapa tanah di kawasan Sabah Forest Industries (SFI) untuk dijadikan rizab kampung untuk rakyat.
“Kita akan mengasingkan tanah itu bagi memastikan rakyat kita yang tinggal di kawasan SFI mendapat kawasan perkampungan yang diwartakan untuk anak-anak mereka,” katanya.
Hajiji turut menggesa rakyat Sabah menolak pembangkang khususnya Warisan dan pengikut-pengikutnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Undilah calon GRS supaya kita dapat melakukan yang terbaik dalam perjuangan mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dan Sabah. Supaya kita dapat memenuhi aspirasi rakyat.
“Tunjukkan melalui undi bahawa rakyat Sabah sedar dan boleh bersatu dalam GRS. Rakyat mesti menyokong dan mengundi calon GRS supaya kita boleh menang dengan cemerlang pada PRU15,” tegasnya.
Pada majlis itu, Hajiji menerima lebih 1,000 penyokong Warisan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengalihkan sokongan kepada GRS di Tenom.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
