Tiga tahun lepas, Communities dilancarkan di Twitter sebagai pesaing kepada Facebook Group. Ia adalah ruangan perbincangan yang lebih spesifik untuk topik-topik tertentu dan perbincangan akan menjadi lebih tersusun rapi kerana tidak berada di garis masa utama. Terbaru, Threads akan hadir dengan ciri lebih kurang sama diberi nama Loops.
Menurut laporan Chris Messina melalui TechCrunch, pengguna boleh menyertai atau meninggalkan Loops. Kemudian terdapat kod tersembunyi memberi petanda mengenai penciptaan Loops seperti menambah nama, biografi dan lain-lain lagi. Ciri ini turut selari dengan konsep tanda tagar yang diperkenalkan oleh Threads, di mana dalam satu perkongsian hanya satu tag boleh disertakan untuk memudahkan pengguna mencari topik perbincangan yang sama.
TechCrunch menyatakan Meta telah memberi maklum balas atas ciri ini dan ia masih di fasa awal pembangunan. Loops turut masih belum diuji, termasuk secara dalaman jadi ciri penuh baginya masih tidak jelas. Dengan penggunaan Threads semakin berkembang, ciri ini mungkin akan menjadikan perbincangan pelbagai topik di Threads lebih rapi dan murni.




