KUANTAN - Bomba terpaksa membuat penghalang air bagi menyekat penyebaran wap asid hidroklorik yang tumpah ke laluan utama jalan raya selepas lori tangki membawa muatan asid itu terbalik di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Jambatan Kampung Cerating di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, dalam kemalangan yang dilaporkan jam 7.30 pagi itu, berlaku kebocoran pada penutup atas tangki muatan menyebabkan kira-kira 1,000 liter cecair asid tumpah dan mengalir ke dalam kawasan paya bakau berhampiran.
Menurutnya, pemandu lori tangki dalam perjalanan menghantar muatan hampir 25 tan asid hidroklorik dari Pasir Gudang ke Kemaman dilaporkan cedera dan telah dihantar ke Hospital Kemaman, Terengganu sebelum ketibaan pihak bomba.
"Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian jam 7.30 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ke lokasi yang berada 30 kilometer dari balai itu untuk operasi bantuan.
"Anggota bersama jentera yang tiba di lokasi jam 8.03 pagi segera melakukan pemeriksaan awal dan mendapati terdapat kebocoran di bahagian penutup tangki dan cecair asid telah mengalir ke dalam paya bakau berhampiran," katanya.
**media[3549872]**
Mohd Salahuddin berkata, pihaknya membuat penghalang air bagi menyekat penyebaran wap asid ke laluan utama jalan raya.
"Pihak bomba turut menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak syarikat untuk mengalih bahan tersebut.
"Sehingga jam 1 tengah hari, operasi masih berjalan dengan kerja-kerja pemindahan asid daripada tangki yang terbalik kepada lori tangki gantian," katanya.
Beliau berkata, operasi turut dibantu anggota bersama jentera tangki air dari BBP Kuantan.
