Lotte Chemical Titan diunjur terus berdepan kesukaran pada FY24 kesan kelemahan harga jualan produk – Maybank IB

Business & Finance
31 Jan 2024 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lotte Chemical Titan diunjur terus berdepan kesukaran pada FY24 kesan kelemahan harga jualan produk – Maybank IB

diyana

31/01/2024 - 10:30

KUALA LUMPUR 31 Jan - Tahun kewangan 2024 (FY24) masih akan menjadi tahun yang sukar untuk Lotte Chemical Titan Holding Berhad disebabkan oleh kelembapan iklim makro untuk produk petrokimia hiliran, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Firma penyelidikan itu menambah bahawa syarikat tersebut akan turut terkesan dengan kenaikan harga naphtha disebabkan oleh persekitaran harga minyak mentah yang tinggi.

“Memandangkan purata harga jualan (ASP) produk kelihatan kekal lemah, pihak pengurusan telah menyasarkan kadar penggunaan loji yang tidak optimum sebanyak 65% hingga 70% pada FY24 (FY23: 67%) kerana margin kekal terjejas dan di bawah titik pulang modal,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Di samping itu, Maybank IB turut menjangkakan Lotte Chemical Titan masih kerugian besar pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24).

Setelah mengambil kira enam minggu yang ketinggalan, firma tersebut berkata harga input naphtha (berdasarkan Indeks Naphtha Jepun) adalah mendatar suku ke suku dengan penurunan 2% dari pertengahan Oktober 2023 hingga pertengahan Januari 2024.

Tambahnya, harga polimer juga agak mendatar - yang secara berkesan menghadkan peningkatan ASP pada 1QFY24.

“Dengan jangkaan kos masih tinggi ditambah dengan ASP yang mendatar, kami amat percaya bahawa kerugian bersih Lotte Chemical Titan masih besar pada 1QFY24, menekankan fakta bahawa kumpulan itu dalam kesukaran,” kata Maybank IB.

Mengulas tentang prestasi kumpulan pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) diumumkan baru-baru ini, firma penyelidikan itu berkata kerugiannya sebanyak RM154 juta lebih kecil daripada jangkaan dan membawa kerugian teras tahun penuh FY23 kepada RM892 juta.

Maybank IB berkata, keputusan tersebut melebihi jangkaan berbanding ramalan kerugian bersih teras FY23 firma dan konsensus sebanyak RM1.1 bilion memandangkan kadar cukai dan jumlah jualan lebih rendah daripada jangkaan.

Selepas pelarasan untuk angka tahun penuh dan kadar penggunaan campuran yang lebih rendah sedikit bagi FY24 dan FY25 masing-masing pada 67%/70%, pendapatan teras disemak kepada negatif RM648 juta (FY24) dan positif RM103 juta (FY25) berbanding negatif RM723 juta dan positif RM76 juta sebelum ini.

Maybank IB mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada 95 sen sesaham daripada 83 sen sebelum ini, berdasarkan harga kepada nilai buku (P/B) FY24 yang tidak berubah sebanyak 0.15 kali.

Setakat pukul 10:29 pagi ini, saham Lotte Chemical Titan didagang rendah pada RM1.21, susut 2 sen atau 1.6% dengan permodalan pasarannya bernilai RM2.8 bilion. - DagangNews.com