
Kota Kinabalu: Seorang suri rumah di sini kerugian lebih setengah juta Ringgit selepas ditipu sindiket penipuan cinta (love scam) oleh seorang lelaki yang ditemuinya menerusi media sosial.
Mangsa berusia 47 tahun itu kehilangan sebanyak RM508,500 kepada seorang lelaki menerusi Facebook sejak awal Julai lalu.
Pada awalnya, mereka hanya berhubung melalui Facebook sebelum kemudiannya menggunakan aplikasi WhatsApp sehinggalah mereka menjadi rapat.
Susulan itu, lelaki terbabit meminta wang daripada mangsa dengan alasan perlu ke Malaysia bagi menguruskan tuntutan harta waris arwah bapanya.
Atas dasar percaya, mangsa menghantar wang kepada lelaki itu secara berperingkat ke akaun milik seorang wanita dengan jumlah keseluruhan RM508,500.
Bagaimanapun, mangsa membuat laporan polis apabila lelaki itu tidak memulangkan wang yang dipinjam, sebaliknya terus meminta wang.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


